14 Oktober 2023, 13:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Belanjawan 2024 membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan amat komited dan bersungguh-sungguh mahu memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata bahawa hal ini dapat dilihat melalui pengumuman peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam sebanyak RM1.9 bilion pada tahun 2024 berbanding dengan RM1.5 bilion pada tahun ini.

Tambah beliau, sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam seperti sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

“Selain itu, untuk menggerakkan agenda membangun Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat, kerajaan mengiktiraf dan menghargai jasa lebih 70 000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut dalam menggerakkan usaha pembangunan insan dengan memberikan sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, sumbangan khas tersebut akan disalurkan terus kepada para murabbi ummah tersebut dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan turut memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20 ribu kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM yang diharapkan dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam usaha melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi.

Tambahnya, kerajaan juga telah bersetuju memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta yang telah diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia selaras dengan aspirasi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.

​“Kerajaan Perpaduan juga amat prihatin dengan masa depan pembangunan program tahfiz dengan memperuntukkan sebanyak RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz TVET yang membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan,” katanya.

Beliau dan seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertekad terus bekerja dengan penuh amanah, komited dan menjaga tatakelola agensi hal ehwal Islam bagi memastikan segala agenda dalam Belanjawan MADANI 2024 dapat dicapai sebaik-baiknya demi maslahah rakyat dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.