11 Oktober 2023, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 berlangsung semalam di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Selangor.

Konvensyen dwitahunan yang menggabungkan Konvensyen Tok Batin dan Konvensyen Mualaf Madani tersebut merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji (TH), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Bank Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir merasmikan konvensyen tersebut mewakili YAB Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri ketika membacakan teks ucapan YAB Perdana Menteri pada Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di ILIM semalam.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan komited memastikan semua mualaf di negara ini mampu mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya sekali gus menjadi mualaf terbaik.

Tambahnya, kerajaan juga sentiasa cakna terhadap perkembangan serta kemajuan mualaf dari semasa ke semasa dan mengiktiraf pencapaian yang diperoleh.

Katanya, usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran aktiviti bermanfaat serta dapat memberikan impak terbaik kepada mualaf dan negara yang akan dilaksanakan menerusi JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
“Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan ini memberikan ruang kepada mualaf untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta pencapaian terbaik mereka diiktiraf melalui penganugerahan berdasarkan beberapa kriteria,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Seramai lebih 1000 orang mualaf dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia seperti kaum Cina, India, Orang Asli, Etnik Dusun, dan Sikh hadir dalam konvensyen ini.

Selain pembentangan kerja dan forum, sebanyak 13 anugerah turut diperkenalkan dalam konvensyen ini, antaranya termasuklah Anugerah Tokoh Mualaf Kebangsaan yang dimenangi oleh Encik Wan Masindra bin Juja dari Perak, Anugerah Dai Orang Asli yang dimenangi oleh Encik Yeki bin Agi juga dari Perak dan Anugerah Dai Mualaf yang diterima oleh Encik Michael Boateng@Muhammad Michel bin Abdullah dari Kelantan.

Senarai penuh penerima Anugerah Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023.

Dalam majlis yang sama juga, disempurnakan pelancaran Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-SIGN) Bagi Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran.

Aplikasi ini merupakan inisiatif ILIM dalam pembangunan latihan bagi menyantuni komuniti OKU Pendengaran, yang terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat termasuk golongan mualaf dan Orang Asli yang diharap dapat menyantuni komuniti OKU pendengaran untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab agama.

Konvensyen tersebut turut disiarkan secara dalam talian menerusi Facebook rasmi JAKIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.