10 Oktober 2023, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Perpustakaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya mencungkil bakat serta meningkatkan pengetahuan dan penghayatan terhadap kisah para nabi dalam kalangan murid sekolah rendah melalui Pertandingan Bercerita Kisah Para Nabi yang berlangsung pada 8 Oktober 2023 di Centre Court Majma’ Mall, Kuching.

Pertandingan anjuran bersama Kompleks Islam Sarawak ini mendapat sambutan yang baik apabila sebanyak 42 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah sekitar Kuching telah mendaftar sejak September lalu.

Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori A untuk murid berusia tujuh hingga sembilan tahun, dan Kategori B untuk pelajar berusia 10 hingga 12 tahun.

Pertandingan yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi sehingga 3.00 petang itu telah dihakimi oleh tiga orang juri dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, iaitu Encik Mohamad Faizal bin Jamil (Munsyi Sastera), Puan Rosani binti Hiplee (penulis) dan Puan Saidatul Faiqah binti Samasu.

Seorang daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Bercerita Kisah Para Nabi.

Johan bagi Kategori A dimenangi oleh Aiman Hakim bin Mohamad Roslan yang mempersembahkan kisah “Nabi Ibrahim dan Raja Namrud yang Sombong”.

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Hadif Dhuha bin Mohammad Mahathir dengan kisah “Nabi Musa dan Keajaiban di Padang Pasir”, dan Hareeth Hassan bin Haemreey Hassan  dengan kisah “Penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah”, manakala hadiah sagu hati diterima oleh Sharifah Safiya Zahrah binti Wan Azam dan Eiman Abdul Mateen bin Elme Jasrie.

Sementara itu, johan bagi Kategori B pula dimenangi oleh Aisy Azzalea binti Adri, dan naib johan ialah adiknya, Airis Arabella binti Adri yang masing-masing membawakan kisah “Nabi Ibrahim dan Raja Namrud yang Sombong” dan “Kisah Wahyu Pertama”.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Ryan Qaleef bin Mohammad Nazlan dengan kisah “Nabi Yunus ditelan Ikan Nun”, manakala hadiah sagu hati diberikan kepada Che Ku Muhammad Umar bin Che Ku Ahmad Fuad dan Dharwisya Az-Zahrah Raudah binti Haslan.

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang hadiah berupa plak dan wang tunai bernilai RM300 untuk johan, RM250 untuk naib johan, RM200 untuk tempat ketiga dan RM100 untuk penerima hadiah sagu hati.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Tuan Haji Hilmy bin Ohtman dan Pengarah DBKU, Tuan Haji Mohamed Khaidir bin Abang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.