8 Oktober 2023, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan program Halal on Track bersama-sama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Oktober 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata bahawa program ini merupakan hasil cetusan idea dan inspirasi YAB Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan Halal Sectoral Forum pada 13 September 2023.

Tambahnya, program ini juga merupakan manifestasi komitmen JAKIM untuk membantu pemain industri di Malaysia agar memahami dengan lebih mendalam berkaitan dengan proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), bermula dari peringkat persediaan (prapensijilan) hingga pengeluaran SPHM.

“Program ini juga antara lain merupakan platform strategik bimbingan halal secara bersepadu kepada usahawan untuk mematuhi standard dan piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM sebelum mengemukakan permohonan SPHM,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh JAKIM ke arah menyahut saranan kerajaan yang mahu proses kelulusan sijil halal dipercepat.

Katanya, pelbagai pengisian bermanfaat telah disusun melibatkan sesi ceramah yang menyentuh pelbagai topik perbincangan seperti permohonan pensijilan halal Malaysia, kesediaan industri untuk melaksanakan pensijilan halal, sistem mengukur tahap kesediaan pensijilan halal syarikat dan pembangunan Halal Management System.

Pihak JAKIM menjemput semua pihak berkaitan, khususnya para pemain industri untuk hadir dan mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh JAKIM bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan pensijilan halal Malaysia serta menjadikan platform strategik ini sebagai medium untuk mempelajari dan menambah sebanyak mungkin informasi serta pengetahuan dalam one to one session secara percuma.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.