3 Oktober 2023, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Majlis Penutupan Mahrajan al-Quran Sekolah-sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 telah berlangsung di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan, Pahang semalam.

YB Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek ketika merasmikan Majlis Penutupan MQSS KPM berkata bahawa kemahiran yang ditonjolkan dalam MQSS, iaitu pembudayaan al-Quran dan nilai murni bukanlah bersifat pertandingan, tetapi harus digarap dalam kehidupan seharian.

“MQSS bukan sahaja bersifat satu pertandingan atau persaingan mencari seorang juara, tetapi harus dibekalkan dengan semangat ukhuwah yang tinggi, khususnya untuk meneguhkan sifat dan akhlak yang sedia ada,” katanya.

YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika merasmikan Majlis Penutupan Mahrajan al-Quran Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di UnIPSAS semalam.

“Program ini sangat dekat di hati saya kerana merupakan antara program yang telah banyak memberikan kesan dalam budaya menghidupkan al-Quran sejak saya di sekolah agama hingga peringkat universiti,” katanya.

MQSS KPM merupakan satu daripada program dakwah yang dilaksanakan sebagai aktiviti pembangunan nilai insaniah, modal insan kamil dan pengukuhan kemahiran al-Quran serta syiar Islam dalam arena pendidikan.

Beliau mengucapkan tahniah atas pemilihan tema “Akidah Mantap Lestari Sahsiah” kerana bertepatan dengan saranan KPM yang terus-menerus menegaskan secara konsisten dan istiqamah tentang kepentingan akhlak.

“Harapan saya semoga lebih banyak lagi anak-anak yang akan lahir sebagai watak manusia basmalah kerana dalam kehidupan kita, setiap perkara yang baik akan dimulakan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim yang terkandung di dalamnya sifat al-Rahman dan al-Rahim, iaitu kehadiran manusia tersebut  sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain.

“Oleh itu, kita harus mempersiapkan diri untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam sebagaimana titipan Rasulullah yang menjadi manusia terbaik akhlaknya dalam kalangan manusia,” katanya.

YB Fadhlina Sidek bergambar kenangan bersama-sama para tetamu dan peserta MQSS.

Fadhlina juga merakamkan ucapan tahniah kepada 688 orang murid yang menjadi peserta dalam 11 acara yang dipertandingkan mewakili negeri masing-masing dan semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.

“Saya yakin bahawa selain ibu bapa, golongan guru merupakan individu terpenting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.

“Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban bagi memastikan murid itu berjaya.

“Terima kasih kepada semua guru yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemenjadian murid ini,” katanya.

Beliau berharap agar peserta yang bertanding tidak hanya menjadikan pertandingan sebagai sebab untuk bersungguh-sungguh membuat persiapan, tetapi jadikanlah kesungguhan tersebut sebagai persiapan untuk menuju ke alam akhirat nanti.

“Pihak KPM akan memastikan budaya ini diteruskan dari semasa ke semasa, malah Hadis 40 juga perlu disyarahkan kembali dengan syarahan yang lebih segar agar kita dapat memperingati antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.