Oleh Suria Janib
2 Oktober 2023, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari menyeru Muslimin dan Muslimat serta seluruh warga DBP untuk sama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda, yang menjadi manusia agung, ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman serta semulia-mulia insan.

“Meneladani sunah Rasulullah SAW merupakan suatu cara tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis sambutan Maulidur Rasul 1445 pada peringkat DBP anjuran Surau al-Hukama’ DBP di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP siang tadi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Mas‘ud r.a. bahawa “Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat dan sesiapa yang berselawat ke atasku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang, maka dia akan menerima syafaatku pada hari kiamat nanti.”

Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan watikah pelantikan anggota Jawatankuasa Surau al-Hukama DBP sesi 2023-2026, yang ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Majlis sambutan Maulidur Rasul DBP turut diserikan oleh kehadiran Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Sukki Othman yang menyampaikan ceramah agama bertajuk “Menghayati Sunah Rasulullah SAW”.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Sukki Othman ketika menyampaikan ceramah.

Antara inti pati ceramah yang disampaikan oleh beliau termasuklah penghayatan terhadap sirah Baginda Rasulullah SAW, iaitu dari peringkat Baginda dilahirkan, kehilangan ibu bapa dan bapa saudara semasa usia kecil sehinggalah Baginda menjadi peniaga yang jujur, mendirikan rumah tangga dengan Sayidatina Siti Khadijah r.a. serta Baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul pada usia 40 tahun.

Pelbagai liku perjuangan yang terpaksa ditempuh oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah demi  mengembangkan Islam.

Menurut Dr. Mohd. Sukki, sebelum dilantik menjadi rasul, Baginda menjalankan usaha dakwah secara sulit selama 13 tahun di kota Makkah dan 10 tahun di Madinah.

Baginda wafat ketika berumur 63 tahun dengan meninggalkan sunahnya yang menjadi panduan kepada umat Islam.

Selain menyampaikan ceramah, Dr. Mohd. Sukki turut menjawab pelbagai soalan berkaitan dengan sunah Rasulullah SAW yang diajukan oleh para hadirin.

Majlis turut diserikan dengan dendangan lagu berunsur dakwah oleh Iwan Syahman.

Majlis tersebut juga diselang-selikan dendangan beberapa buah lagu berunsur dakwah dan ketuhanan oleh penyanyi undangan, Iwan Syahman, serta alunan selawat dan qasidah oleh kumpulan murid tahfiz dari Maahad Tahfiz al-Quran Misbahul Falah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Encik Zulfa Hamzah dan Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP, Tuan Syed Mashor Syed Mustapha.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.