1 Oktober 2023, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima menghadap Rektor Universiti Fatony (FTU) Thailand, Syeikh Dr. Ismail Lutfi Japakiya bagi membincangkan beberapa isu tentang kemajuan umat Islam.

Dr. Ismail merupakan Pengerusi Majlis Antara Agama untuk Keamanan Thailand (Inter-Religious Council For Peace) dan juga merupakan seorang tokoh agama Islam di Selatan Thailand.

Selain berkongsi tentang pelbagai pengalaman dalam dialog keamanan berlainan agama, beliau juga turut membangkitkan isu tentang kepentingan pengurusan wakaf.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kiri) dan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) ketika menerima menghadap Rektor Universiti Fatony, Syeikh Dr. Ismail Lutfi Japakiya (tengah).

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut hadir juga Mufti Perlis, Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pensyarah di Fatoni University, Profesor Dr. Abdul Wahab Ismail.

Untuk rekod, MAIPs mempunyai kerjasama strategik yang erat dengan pihak Fatoni University melalui sumbangan sebuah bangunan Majma Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bernilai RM2.3 juta, penawaran biasiswa kepada pelajar FTU, serta pelbagai kerjasama akademik antara FTU dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.