29 September 2023, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga Tabung Haji (TH)  bagi meraikan enam dekad pencapaian TH sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang unik di dunia.

Beliau berkata bahawa penubuhan TH sebagai sebuah institusi Islam patuh syariah yang unik di dunia adalah hasil minda Madani seorang tokoh ilmuwan, Allahyarham Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

“Hingga hari ini, TH masih kekal relevan meskipun telah mendepani pelbagai cabaran sepanjang 60 tahun dalam memacu kecemerlangan ekonomi ummah,” menurut beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak TH.

Tambahnya, sambutan ini bertujuan untuk memperingati lakaran penubuhan dan sejarah evolusi perkhidmatan TH kepada umat Islam.

“Pencapaian TH hari ini juga merupakan hasil daripada komitmen yang berterusan dan usaha jitu seluruh warga TH untuk mencapai matlamat TH, seterusnya memenuhi mandat yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap agar institusi kebanggaan negara ini konsisten melakukan proses transformasi dan mengukuhkan tatakelola untuk melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan oleh hampir sembilan juta pendepositnya agar terus kekal mampan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar juga menyarankan agar TH terus berusaha mengukuhkan strateginya menerusi Pelan Transformasi Strategik yang dikenali sebagai HIJRAH24 yang telah dilancarkan pada tahun 2022.

“Dalam usaha memelihara mandat yang dipertanggungjawabkan dan kekal berdaya saing, TH perlu mencapai sasaran mengikut ketetapan HIJRAH24 yang menggariskan lima teras utama dan disokong oleh 24 inisiatif strategik untuk dilaksanakan sepanjang tiga tahun bermula tahun 2022 hingga tahun 2024 untuk kemampanan TH,” katanya.

Tambah beliau, antara inisiatif HIJRAH24 termasuklah menyemak Akta Tabung Haji dengan menerapkan prinsip maqasid syariah dalam tadbir urus, mengurus haji dengan lebih efisien, menjana pulangan lebih stabil, meningkatkan simpanan dan membangunkan modal insan terbaik.

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TH yang Ke-60 ini juga, pelbagai program dan aktiviti menarik telah diatur sepanjang tahun khusus untuk warga TH, para pendeposit dan juga para jemaah haji.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.