28 September 2023, 21:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tokoh Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023, Profesor Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin al-Habshi berkhidmat lebih 40 tahun sebagai ahli akademik di beberapa buah institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Anak jati Peringgit, Melaka ini memulakan kerjayanya pada peringkat awal sebagai seorang guru di sebuah sekolah.

Beliau seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa buah universiti awam seperti Universiti Malaya (UM) pada tahun 1969, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1983, dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 1987.

Selain itu, beliau merupakan pengasas merangkap presiden kepada universiti maya pertama di Asia Tenggara yang terletak di Malaysia, iaitu Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (UNITAR) pada tahun 1997.

Graduan Ijazah Doktor Falsafah Ekonometrik dari Universiti Birmingham United Kingdom ini juga berjaya melonjakkan nama negara sebagai hab pendidikan yang membangunkan modal insan dalam industri kewangan Islam global.

Pada majlis yang sama, terdapat enam lagi penerima anugerah bersempena dengan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini, iaitu Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Haji Misnu Haji Taha; Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Dato’ Haji Kamarudin bin Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Angkasawan Malaysia, Tuan Syed Kamaruzzaman Syed Kabeer; Pengerusi Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia,  Dato’ Dr. Mohd Nordin Mohd Nor; Ketua Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Encik Zamzuri Ghani; dan Mantan Pengarah Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah, Puan Hajah Shaariah Dahman.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan anugerah tersebut kepada semua penerima, dengan diiringi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai’im Mokhtar.

Majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disertai oleh 6000 orang peserta yang terdiri daripada 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.