27 September 2023, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini mengangkat tema “Perpaduan Teras Malaysia MADANI” yang merupakan manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW, serta tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Beliau berkata bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan pada 12 Rabiulawal 1445H bersamaan 28 September 2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 7.30 pagi.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk berangkat bersama-sama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri turut hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini berserta tetamu kehormat lain.

Menurut beliau, sambutan Maulidur Rasul merupakan satu daripada acara rasmi kerajaan yang disambut pada setiap tahun sama ada pada peringkat persekutuan ataupun negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia yang bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunah Rasulullah SAW.

“Sambutan pada tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang daripada 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta yang melibatkan 3700 orang peserta lelaki, manakala selebihnya peserta wanita yang akan mengikuti Bicara Santai Dhuha di Dewan Planery PICC yang akan bermula serentak pada jam 7.30 pagi,” maklumnya.

Beliau berkata bahawa kontinjen Perarakan Maulidur Rasul SAW akan berarak dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC dengan jarak perjalanan satu kilometer yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Naim Haji Mokhtar.

Acara kemuncak Sambutan Maulidur Rasul SAW pula bakal bermula pada jam 10.00 pagi dengan keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA.

Menurutnya lagi, majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW yang layak dan telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Tambah beliau, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbangkan untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang memberikan impak positif terhadap kesejahteraan dan kemakmuran semua dan telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diurusetiakan oleh JAKIM.

“Para penonton juga dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi, iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas yang merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini,” jelasnya.

Katanya, persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Baginda turut dapat disaksikan pada sambutan kali ini sebagai mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya, persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

Orang ramai boleh menyaksikan sambutan ini secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi, serta lain-lain saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri selain mengikuti secara dalam talian melalui kesemua platform media sosial rasmi JAKIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.