Oleh Suria Janib
27 September 2023, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kehadiran Nabi Muhammad SAW memberikan ajaran yang sempurna sebagai panduan kehidupan manusia sepanjang zaman.

Kelompangan jarak masa yang ditinggalkan oleh Nabi Isa a.s. hingga zaman Nabi Muhammad SAW kira-kira 500 tahun dahulu menyebabkan manusia hilang arah dan tersesat jauh daripada ajaran yang diturunkan oleh Allah SWT.

Demikian ditegaskan oleh Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Haji Shamsul Azhar Yahya menerusi “Kuliah Integriti: Ikutan Sepanjang Zaman”, yang disiarkan melalui media sosial Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia pagi tadi.

Beliau memberikan contoh ketika zaman masyarakat Madyan menipu berat timbangan dalam urus niaga, Nabi Muhammad SAW datang dengan membawa misi untuk menyempurnakan dan membetulkan sukatan timbangan.

Dr. Haji Shamsul Azhar Yahya, Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada masa itu, masyarakat telah lari daripada mengikuti ajaran Islam, menyimpang dan menggunakan logik akal semata-mata.

Tambahnya, kepemimpinan Rasulullah SAW sudah terserlah ketika Baginda meleraikan perbalahan antara ketua puak kabilah bagi menentukan kedudukan batu hajarulaswad.

Pada masa itu, mereka percaya terhadap keperibadian Rasulullah SAW yang digelar al-amin dan menerima sebarang keputusan yang ditentukan oleh Baginda.

Perjalanan Nabi Muhammad SAW melalui proses yang panjang sebelum diangkat menjadi rasul atau pemimpin umat manusia ketika berumur 40 tahun.

Dalam tempoh ini, pelbagai pengalaman dilalui oleh Baginda, namun Baginda dibimbing oleh wahyu dan dibantu oleh Allah SWT.

“Dalam soal kepemimpinan, umur menentukan tahap kemampuan seseorang, dari segi pengalaman, keilmuan dan kepakaran,” katanya.

Dr. Shamsul memetik kata-kata ulama besar, iaitu Yusuf al-Qaradawi bahawa untuk menjadi seorang yang hebat perlulah bergaul dengan orang tua, iaitu orang yang berpengalaman atau bertanya kepada orang yang lebih tahu untuk mendapatkan ilmu.

“Pada usia muda seseorang itu perlu membina peribadi, sahsiah diri dan mencipta rekod keperibadian yang baik bagi menyiapkan diri pada masa hadapan untuk memainkan peranan yang lebih besar.

“Setelah diangkat menjadi rasul, bermulalah perjalanan nabi dengan menyelesaikan pelbagai masalah seperti isu perkauman dan mempunyai misi yang lebih besar, iaitu membina tamadun manusia dan membebaskan perhambaan terhadap manusia kepada perhambaan terhadap Allah,” katanya.

Menurutnya, bagi membina ketamadunan, Nabi Muhammad SAW mengajar manusia membaca dan kepentingan mencari ilmu.

“Pelajar perlu mempelajari subjek tamadun dan sejarah kerana sejarah sentiasa berulang untuk manusia melihat dan berfikir, malah orang yang melupakan sejarah akan menimbulkan masalah pada kemudian hari,” katanya.

Daripada soal ketamadunan, Nabi Muhammad SAW mengubah sikap manusia daripada tidak mempunyai integriti kepada bersifat amanah.

Baginya, pemimpin yang baik tidak mahu dirinya dibesar-besarkan atau gemar dipuji.

“Jadilah pemimpin yang berintegriti dan elakkan daripada menjadi pemimpin belon yang suka ditiup menjadi kembang, yang gemar ditiup setiap hari, tetapi lama-kelamaan belon ini akan pecah.

“Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW diturunkan untuk menunjukkan tingkah laku yang berkualiti.

Baginda sentiasa menjaga tingkah laku yang berkualiti termasuk amanah dan bertanggungjawab dalam setiap urusan sejak lahir hinggalah beliau wafat,” katanya.

Menurut Dr. Shamsul lagi, setiap pekerja perlulah mengekalkan integriti seperti amanah, tidak mencabuli kepercayaan, menepati masa, bekerja dengan bersungguh-sungguh, bertanggungjawab dan melakukan kerja hingga selesai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.