18 September 2023, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Istanbul  – Mencintai Nabi Muhammad SAW merupakan satu kewajipan kepada umat Islam sebagai umat Baginda.

Kecintaan kepada nabi tidak hanya sekadar melafazkan ungkapan sahaja,  tetapi hendaklah diiringi dengan tindakan mencontohi Baginda dalam kehidupan seharian.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Masjid Camlica di daerah Uskudar, di Istanbul, Turkiye.

Tambah Tuanku Raja Muda, “Dalam menghayati kedatangan bulan Rabiulawal yang merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya berusaha mempertingkatkan kecintaan kepada Baginda selaras dengan petunjuk daripada al-Quran dan sunah.”

“Antara bukti kecintaan kepada Rasulullah termasuklah memperbanyak selawat, mempertahankan sunah dan menghayati sirah Baginda, serta menambah ilmu pengetahuan dengan mengikuti ajaran Baginda,” titah baginda.

Masjid Camlica merupakan masjid terbesar di Turkiye, yang dibina dengan kos sebanyak USD290 juta pada 2013 dan siap pada 2019, serta boleh memuatkan sebanyak 25 000 jemaah di dalam masjid dan 63 000 jika termasuk di luar bangunan.

Selain ruang solat, masjid ini juga mempunyai muzium, perpustakaan, kafeteria, dewan persidangan serta bengkel seni lukis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sitajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut mengiringi baginda ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) Datuk Profesor Dr. Zaliman Sauli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs yang diterima oleh Pegawai Masjid, Kevser Saliha Aydn yang menerima bagi pihak presiden masjid tersebut, Ergin Kulunk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.