12 September 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan ‘TH Khairat’, iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12 000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit TH dengan langganan tahunan serendah RM28 sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im berkata bahawa inisiatif ini merupakan satu daripada komitmen dan langkah proaktif TH untuk meringankan beban kewangan pendeposit, serta menggalakkan umat Islam untuk menabung dan membuat persediaan awal dari segi kewangan agar urusan waris sewaktu dan selepas kematian dapat diurus dengan baik.

“Saya berharap agar usaha seperti ini akan mendapat sambutan dan sokongan ramai kerana menerusinya, kebajikan dan kesejahteraan para pendeposit akan terus terpelihara kerana bantuan kewangan pada masa sukar akan diberikan apabila berlaku kematian kepada pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TH semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata bahawa TH Khairat ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pendeposit TH untuk mempunyai perlindungan, malah pendeposit juga dapat memberikan sumbangan infak.

“Pendeposit TH juga dapat memberikan sumbangan infak berjumlah RM2000 (sebahagian daripada jumlah perlindungan TH Khairat) kepada pertubuhan atau organisasi kebajikan yang dilantik oleh pengendali Takaful,” jelas beliau.

Menurutnya, TH mengalu-alukan pendeposit untuk mengambil TH Khairat ini kerana bayaran tahunannya yang rendah dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Kumpulan Takaful Malaysia), Encik Nor Azman Zainal dalam kenyataan yang sama berkata bahawa perlindungan takaful TH Khairat yang ditawarkan ini melambangkan komitmen TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang menyediakan pendeposit akses kepada produk takaful mampu milik bagi memenuhi keperluan perlindungan mereka yang semakin meningkat sekali gus mencerminkan dedikasi TH dalam usaha memberikan perlindungan kepada pendeposit.

Tambahnya, usaha ini juga selaras dengan pelan perniagaan strategik TH untuk mengukuhkan kedudukan Takaful Malaysia sebagai pengendali takaful pilihan utama di Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama juga, Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Mohd Asri Omar berkata bahawa pihaknya amat menghargai kerjasama strategik dengan TH untuk membantu meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia, terutamanya pendeposit TH tentang kepentingan mempunyai perlindungan takaful serta menyediakan akses untuk mereka menyertai pelan takaful mampu milik.

Katanya, selaku pengendali takaful pilihan, HLMT sentiasa komited dan bersedia dengan pelbagai pelan perlindungan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH yang berumur seawal 30 hari hingga 65 tahun dan yang ditaja jamin oleh Takaful Malaysia dan HLMT dengan bayaran sebanyak RM28 secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan.Pendaftaran boleh dilakukan melalui portal atau aplikasi THiJARI dan pendeposit juga boleh mendaftarkan TH Khairat untuk akaun anak di bawah jagaan yang berumur di bawah 18 tahun di THiJARI.

Untuk maklumat  lanjut, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.