11 September 2023, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menganjurkan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 dari 9 September hingga 15 September 2023 dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan tiga agensi di bawah MITI, iaitu Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Halal Development Corporation (HDC) dan Department of Standards Malaysia (DSM).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata bahawa Konvensyen Badan Pensijilan Halal ke-13 (HCBC) yang merupakan satu daripada tiga acara utama  akan dianjurkan oleh JAKIM sempena GHaS 2023 bermula dari 9 September hingga 11 September di Pullman Hotel Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Tambahnya, konvensyen ini adalah bertujuan untuk menyediakan forum bagi mesyuarat tahunan antara JAKIM dengan badan pensijilan halal antarabangsa yang diiktiraf bermula sejak tahun 2006.

“Hingga kini, JAKIM telah mengiktiraf 84 badan pensijilan halal dari 47 buah negara yang bertanggungjawab menentukan status halal bahan mentah, produk makanan, daging dan barangan berasaskan haiwan lain yang akan dieksport ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, program ini disertai oleh delegasi antarabangsa yang mewakili Badan Pensijilan Halal Antarabangsa yang Diiktiraf JAKIM, Pihak Berkuasa Halal dari Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pemain Industri dan/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Katanya, pada tahun ini, Penguasa Makanan dan Dadah Saudi (SFDA) Arab Saudi dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia merupakan antara pihak berkuasa yang menyertai program ini dan kedua-duanya  telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) dengan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf produk domestik yang diperakui oleh negara masing-masing.

“Program kedua ialah Kongres Industri Halal Global (GHIC) yang julung-julung kalinya  dianjurkan semasa GHaS 2023, iaitu forum yang menghimpunkan Badan Pensijilan Antarabangsa dan pemain industri halal di Malaysia untuk memahami realiti pengurusan industri dan halal di negara yang terlibat,” jelasnya.

Beliau berkata bahawa GHaS 2023 juga akan menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal Mesyuarat Tidak Rasmi Tahunan Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) buat pertama kalinya pada tahun ini.

Mesyuarat tersebut akan menjadi platform perbincangan dalam kalangan ahli MABIMS tentang isu berkaitan dengan halal sambil bertukar pengalaman dan maklumat bagi meningkatkan kerjasama dan mengukuh koordinasi halal dalam kalangan negara anggota.

Menurutnya, pihak MITI juga menganjurkan program lain seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) anjuran MATRADE, Seminar Profesion Halal anjuran JSM dan Forum Sektor Halal anjuran HDC yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 September ini.

Beliau amat berharap GHaS 2023 pada kali ini akan dapat memperlihatkan perpaduan dalam kalangan badan pensijilan halal Malaysia yang akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai peneraju halal global selain membuktikan usaha kerajaan untuk melonjakkan ekonomi halal Malaysia di samping menunjukkan komitmen berterusan untuk memartabatkan Malaysia sebagai peneraju industri halal pada peringkat global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.