11 September 2023, 21:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Fungsi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan pemikiran harus diselaraskan dengan pengisian ilmu dalam bidang agama dan pengetahuan am seperti akidah, ibadat, akhlak, kesihatan dan ekonomi.

Agensi agama dan jawatankuasa kariah di seluruh negeri Perlis juga hendaklah sentiasa memastikan agar majlis ilmu dapat diseimbangkan dengan perkongsian ilmu yang mencakupi bidang penting dalam agama dan juga isu semasa.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kali ke-13 tahun 2023 yang diadakan di Masjid Al Hasan, Jejawi Dalam baru-baru ini.

Baginda juga berharap agar pengurusan dan pengimarahan masjid di negeri Perlis dapat disemarakkan dan dinaik taraf sebagai satu daripada usaha tarikan bukan sahaja kepada masyarakat setempat, malah masyarakat di luar negeri Perlis mengikut standard yang dikeluarkan oleh badan-badan professional.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seorang daripada asnaf terpilih.

Tuanku Raja Muda selaku Yang Dipertua MAIPs turut melaksanakan pengurniaan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM8000 yang diagihkan kepada 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan, iaitu sebanyak RM400 setiap seorang.

Turut hadir menyampaikan ceramah SW Corp bertajuk ‘Perlis Hebat-Rakyat Hidup Bersih’ oleh Pengarah SW Corp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.