8 September 2023, 20:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jam‘iyah Pegawai-pegawai Masjid Negeri Perlis menganjurkan Konvensyen Masjid-masjid Negeri Perlis Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Dalam majlis tersebut, Pengerusi Masjid As-Syakirin, Oran, Haji Ya Ali Dahaman diumumkan sebagai Pengerusi Masjid Terbaik, manakala Masjid Al-Arifin, Padang Katong pula diumumkan sebagai pemenang Anugerah Masjid Lestari Terbaik Negeri Perlis tahun 2023.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut, dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Tuanku Raja Muda bertitah bahawa masjid di negeri Perlis hendaklah diperkasakan agar dapat mensyiarkan kualiti pentadbiran yang profesional dan efisien.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Baginda menasihatkan supaya pelantikan ahli jawatankuasa masjid mestilah berasaskan kelayakan al-Qawiy dan al-Amin yang kompeten, serta komited menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Dalam sebarang aktiviti komuniti setempat, jawatankuasa kariah dan pegawai masjid hendaklah selalu turun padang melihat keperluan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa masalah yang berkaitan dan perlu diwujudkan jaringan strategik antara jawatankuasa dengan pihak berkuasa, NGO, rukun tetangga dan seumpamanya,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa jawatankuasa masjid hendaklah sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga pengajar tersebut ialah pemegang tauliah di negeri Perlis.

Hal ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri Perlis kekal berada pada standardnya yang tersendiri, serta jauh daripada anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Mematuhi ulu al-amri merupakan tuntutan dalam agama Islam, apatah lagi hal tersebut selari dengan suruhan agama dan kemaslahatan ummah, dan perkara ini adalah untuk kebaikan bersama, demi melestarikan keharmonian dalam kalangan komuniti dan anak kariah,” titah baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Pada majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan merasmikan Pelancaran Buku Standard Penarafan Masjid Malaysia Peringkat (SPMM) Negeri Perlis diiringi oleh Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM, Haji Kamaldin Mohd Damin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli; dan Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.