28 April 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia sebagai khalifah di muka bumi memegang amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan oleh Allah SWT. Dalam melayari bahtera kehidupan, hal yang berkaitan dengan makan minum dan tempat tinggal memerlukan kita memiliki sumber pendapatan dan harta. Antara cara untuk mendapatkan pendapatan dan harta termasuklah melalui pekerjaan. Oleh sebab itu, terkandung pelbagai perintah dalam al-Quran supaya manusia bekerja. Pelbagai pekerjaan boleh dilakukan oleh manusia, asalkan halal dan mendapat sumber pendapatan secara halal, iaitu tidak bertentangan dengan syariat, sama ada sebagai peniaga, petani, pekebun, penternak, nelayan, bertukang atau mengambil upah mahupun gaji sebagai penjawat awam atau pekerja swasta.

Pelbagai pekerjaan boleh dilakukan oleh manusia sebagai punca rezeki asalkan memberikan sumber pendapatan yang halal.

Bekerja merupakan antara ikhtiar manusia untuk meneruskan kehidupan yang sempurna. Nilai murni pekerjaan amat dititikberatkan oleh Islam. Oleh itu, lakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin dengan niat yang betul, menyempurnakan fardu kifayah, berniat melakukannya semata-mata kerana Allah SWT.  Sabda Nabi SAW,

Maksudnya: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan purnama.”

(Hadis riwayat al-Tabarani, dalam Musnad al-Syamiyyin, no.3465)

Pekerja merupakan khazanah penting dalam sesebuah negara. Kemajuan negara bergantung pada kebijaksanaan, kecekapan, keikhlasan dan kesungguhan para pekerja menyempurnakan tanggungjawab masing-masing. Para pekerja yang berjaya melaksanakan pelbagai tugas dengan baik, telah menunaikan fardu kifayah untuk membantu menyejahterakan kehidupan manusia. Oleh itu, khidmat bakti dan  pengorbanan para pekerja wajar diiktiraf dan dihargai. Di Malaysia, peranan dan khidmat bakti para pekerja dihargai dengan diadakan sambutan Hari Pekerja pada setiap 1 hari bulan Mei.

Kemajuan negara bergantung pada kebijaksanaan, kecekapan dan keikhlasan pekerja menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Setiap pekerja di negara ini tertakluk di bawah Akta Pekerja 1955, iaitu suatu akta yang memperuntukkan kemudahan, kelebihan dan hak yang perlu diberikan kepada pekerja. Jika berlaku sebarang pelanggaran hak, pekerja diberikan hak untuk bersuara. Majikan wajib bersifat adil kepada para pekerja, memastikan ganjaran, kebajikan dan keselamatan mereka terjamin. Para pekerja hendaklah diberikan masa kerja yang munasabah dengan upah yang setimpal, diberikan waktu rehat yang cukup, disediakan tempat dan persekitaran kerja yang selamat, selaras dengan maksud ayat 90, Surah al-Nahl yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan kezaliman. Dia memberikan pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik dan berlaku adil kepada semua pihak serta dilarang melakukan sebarang penindasan atau kezaliman. Majikan hendaklah menyantuni para pekerja selaras dengan semangat yang terkandung dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud, “Sesungguhnya saudara-saudara (hamba) kalian adalah tanggungan kalian, Allah menjadikan mereka di bawah tangan kalian, maka sesiapa yang saudaranya berada di bawah tangannya, hendaklah dia memberi makan daripada apa-apa yang dia makan, dan memberikan pakaian daripada pakaian yang dia pakai, dan janganlah kalian membebani mereka dengan apa-apa yang mereka tidak sanggup, maka bantulah mereka.”

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW memerintahkan supaya diberikan layanan baik kepada hamba sahaya. Sedangkan, hamba pun perlu disantuni, apatah lagi layanan yang perlu dilakukan terhadap warga kerja merdeka yang bukan bertaraf hamba. Mengambil iktibar tersebut, disenaraikan tujuh saranan yang boleh dijadikan panduan oleh para majikan untuk menyantuni pekerja:

Pertama: Memastikan para pekerja diberikan ganjaran secara setimpal, adil dan saksama dalam semangat berkongsi laba dan keuntungan. Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui hadis yang bermaksud “Berilah upah pekerja, sebelum kering peluhnya.” (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2443)

Islam amat menitikberatkan kebajikan seseorang pekerja. Dalam satu hadis kudsi Rasulullah SAW memperingatkan, “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari kiamat … (satu daripadanya ialah) orang yang memberikan kerja kepada seseorang, kemudian setelah pekerja memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayar.”

Imam al-Munawi berkata, “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya.” Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum kering peluh merupakan kiasan atas wajibnya menyegerakan bayaran upah setelah selesai pekerjaan. Walaupun demikian, bayaran upah boleh dilaksanakan berpandukan kesepakatan yang terjalin antara pekerja dengan majikan, sama ada dibayar mengikut jam, harian, mingguan atau bulanan.

Kedua: Mewujudkan suasana dan persekitaran kerja yang selamat, bersih dan harmoni, dilengkapi dengan peralatan yang diperlukan untuk memudahkan kerja dapat disempurnakan sebaik mungkin.

Ketiga:  Memberikan perhatian terhadap kebajikan pekerja merangkumi simpanan hari tua, kemudahan rawatan kesihatan dan perubatan, waktu rehat, ruang waktu dan tempat beribadat, perumahan, pengangkutan, dan bekalan pakaian seragam berkualiti kepada perkhidmatan yang berkaitan.

Keempat: Mengagihkan tugas bersesuaian dengan pengetahuan dan kemahiran, serta jantina, kekuatan fizikal, usia dan tahap kecergasan seseorang petugas.

Kelima: Mengenal pasti dan memahami bakat dan kelebihan yang dimiliki oleh pekerja dengan memberikan tajaan latihan yang dapat meningkatkan kemahiran seterusnya kualiti kerja.

Keenam: Mengamalkan sifat majikan yang bertimbang rasa, sedia berunding, mendengar dan sentiasa meraikan kepelbagaian pandangan.

Ketujuh: Melaksanakan keadilan berdasarkan merit atau pencapaian pekerja ketika menimbangkan penempatan dan urusan kenaikan pangkat.

Islam meletakkan sifat al-qawiy, iaitu kekuatan mengurus, dan al-amin, iaitu amanah sebagai tunjang yang menghiasi seseorang pekerja. Tidak ada pekerjaan yang boleh dilakukan secara mudah dan sambil lewa. Tenaga kerja yang banyak menjadi suatu pembaziran jika pekerjaan tidak dilakukan secara tekun dan khusyuk. Oleh itu, mimbar menyeru para pekerja agar menghayati falsafah ibadat ketika melaksanakan kerja dan meningkatkan azam menerimanya sebagai amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas diri kita, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas, ayat 26:

Maksudnya: “Seorang daripada kedua-dua (perempuan) itu berkata, “Wahai ayahku! Jadikanlah dia (Musa a.s.) sebagai pekerja (kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

(Surah al-Qasas 28:26)

Majikan hendaklah berlaku adil terhadap setiap pekerjanya.

Menjelang sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei nanti, umat Islam diingatkan tentang tiga perkara yang berikut:

Pertama: Jadikanlah diri kita seorang pekerja yang ikhlas, bersih, jujur dan amanah. Jadikanlah sifat malu sebagai perisai dalam apa-apa juga tindakan agar sumber rezeki untuk nafkah ahli keluarga menjadi halal lagi berkat.

Kedua: Jadikanlah diri kita seorang pekerja yang berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran dengan terus menghadiri pelbagai latihan, bengkel dan kursus agar berupaya menguasai ilmu, pengetahuan dan kemahiran baharu.

Ketiga: Jadikanlah pekerjaan sebagai ibadat dengan mencari reda Allah SWT agar kita dilimpahi perlindungan dan petunjuk daripada-Nya jua.

Oleh itu, umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab ‘alamin! Terimalah kerja yang kami usahakan sebagai ibadat. Jauhi kami daripada sikap sambil lewa semasa bekerja. Ilhamkan kami dengan pemikiran yang segar untuk berupaya membawa perubahan ke arah kebaikan ummah dalam setiap kerja yang kami diamanahkan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks Khutbah Jumaat, 20 April 2023, bertajuk “Menyantuni Pekerja dan Memenuhi Amanah Bekerja”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.