Oleh RYAN SOFEA
3 April 2023, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bulan Ramadan sewajarnya digunakan oleh umat Islam untuk mendidik diri agar bersederhana dalam berbelanja dan meraih ganjaran istimewa yang tidak terdapat dalam bulan lain, iaitu dengan bersedekah terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi Muhammad SAW ditanya tentang sedekah apakah yang paling utama? Nabi SAW menjawab yang bermaksud, “Sedekah pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Ambillah peluang ini untuk bersedekah tidak kira dalam apa-apa juga bentuk, sama ada wang ringgit atau juadah buka puasa. Perlu juga diingat, untuk bersedekah, tidak semestinya banyak atau sikit. Setiap umat Islam boleh bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Apa-apa yang penting, amalan tersebut dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.

Bersedekah tidak akan mengurangkan harta atau rezeki. Sepertimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa-apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba’ 34:39). Jadi, yakinlah dengan firman Allah SWT ini tanpa perlu berasa ragu dan bimbang. Banyak ganjaran berupa pahala menanti seseorang yang bersedekah.

Dengan berbelanja secara sederhana pada bulan Ramadan mampu membantu seseorang untuk merancang perbelanjaan sedekah yang akan dilakukan. Inilah keistimewaan bulan Ramadan yang juga merupakan manifestasi perjuangan melawan hawa nafsu, termasuk ketika berbelanja. Perjuangan melawan hawa nafsu berbelanja pada bulan Ramadan sekiranya berjaya, maka hal yang demikian merupakan satu bentuk perubahan baik dalam kehidupan yang boleh menjadi pencetus kepada tabiat bersederhana dalam berbelanja walaupun selepas berakhirnya bulan Ramadan, seterusnya menjadi sebati dalam diri.

Sebagai Muslim, tabiat berbelanja secara berhemah sangat dituntut. Hendaklah sentiasa membezakan antara keperluan dengan kehendak apabila membuat sesuatu pembelian. Pada bulan Ramadan, terdapat pelbagai juadah makanan dan minuman yang menggoda orang ramai untuk membelinya. Pada akhirnya, hawa nafsu mengatasi akal fikiran, lalu menyebabkan seseorang bertindak boros dalam berbelanja membeli juadah berbuka puasa dengan banyak sehingga mengakibatkan pembaziran kerana tidak boleh dihabiskan kesemuanya akibat perut sudah kekenyangan. Alangkah ruginya apabila berlakunya pembaziran seperti ini sedangkan banyak lagi umat Islam yang kurang berkemampuan dan tiada juadah untuk berbuka puasa.

Amalan sedekah sangat digalakkan terutama pada bulan Ramadan.

Allah SWT melarang bersikap boros dalam berbelanja melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu ialah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra 17:26-27).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman tentang sifat sederhana dalam berbelanja. Firman Alah SWT yang bermaksud, “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah golongan yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara itu, iaitu tidak boros dan tidak bakhil.” (Surah al-Furqan 25:69). Inilah bukti Islam menganjurkan umatnya agar bersikap sederhana dalam berbelanja dan tidak menggalakkan umatnya berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran.

Sebenarnya, falsafah lain yang tersembunyi di sebalik ibadat puasa yang jarang-jarang diperkatakan adalah untuk mendidik dan mengasuh umatnya yang berkemampuan supaya menjadi prihatin terhadap kesusahan golongan yang kurang berkemampuan dan turut merasai denyut nadi penderitaan mereka. Golongan kurang berkemampuan sering diselubungi dengan kesusahan hidup sama ada ketiadaan wang ringgit untuk membeli makanan dan minuman atau perkakas persekolahan anak-anak. Ditambah pula dengan keadaan kos sara hidup dan harga barang yang semakin meningkat kini, pastinya bukan sahaja menjejaskan perjalanan kehidupan seharian, malahan turut menekan kelangsungan hidup golongan yang keadaannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan akan mewujudkan rasa kesyukuran dalam diri dengan nikmat Allah SWT, berupa kemampuan wang ringgit yang dimiliki selama ini. Ingatlah firman Allah SWT dalam al-Quran berkenaan dengan anjuran bersikap bersyukur tatkala menerima nikmat daripada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur atau ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.’

(Surah Ibrahim 14:7)

Jadikan firman Allah SWT ini sebagai rangsangan untuk terus bersyukur dengan nikmat Allah SWT dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan pada bulan yang penuh berkat ini. Sehubungan dengan itu, setiap umat Islam yang berkemampuan digalakkan menggunakan kesempatan ini dengan cara menghulurkan bantuan secara langsung kepada golongan yang kurang berkemampuan, sekurang-kurangnya bagi mengubati kesedihan akan nasib mereka mengharungi situasi sukar dalam suasana ketidaktentuan ekonomi.

Bersederhanalah dalam berbelanja agar dapat diperuntukkan sebahagian daripadanya untuk amalan bersedekah. Bulan Ramadan ialah bulan memperbaiki spiritual manusia dan terapi jiwa. Bersederhana dalam berbelanja dan bersedekah merupakan sifat yang akan melahirkan rasa syukur, sabar, tawakal dan keinsafan dalam hati seseorang. Dengan bersifat sederhana, seseorang tidak mudah ditimpa kesusahan selain dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu. Hayatilah, amalan inilah sebenarnya yang membawa kepada kebahagiaan hidup seseorang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.