31 Mac 2023, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka juga memberikan makanan yang disukai oleh mereka kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. (Sambil berkata): ‘Sesungguhnya kami memberikan makanan kepada kamu hanya kerana mengharapkan keredaan Allah, kami tidak berharap sebarang balasan dan ucapan terima kasih daripada kamu.’”

(Surah al-Insan 76:8-9)

Ramadan telah memasuki hari kesembilan; bermakna sudah lapan hari umat Islam menyempurnakan ibadat puasa. Terkandung pelbagai kebaikan serta hikmah dalam ibadat puasa, antaranya termasuklah menginsafkan ummah agar dapat memahami erti kesusahan, serta erti berlapar kerana tiada makanan. Semoga keinsafan tersebut akan menyemaikan rasa kasih dan ihsan dalam jiwa kita; seterusnya jiwa kita dapat menghayati kesusahan yang selama ini dialami oleh golongan fakir miskin. Semoga rasa insaf melalui pengalaman berlapar dan berdahaga akan meningkatkan rasa syukur akan lebihan nikmat rezeki kurniaan Ilahi kepada kita, lalu mendorong hati kita bersifat pemurah untuk menghulurkan bantuan agar dapat meringankan derita kesusahan fakir miskin.

Berdasarkan rekod dalam sistem eKasih, Pejabat Pembangunan Negeri Perak, bertarikh 15 Mac 2023, sebanyak 9175 isi rumah berada dalam golongan miskin tegar, manakala sebanyak 23 545 isi rumah berada dalam golongan miskin, menjadikan sebanyak 32 720 isi rumah di negeri ini berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 265 atau 37 peratus isi rumah berada dalam golongan miskin bandar, sementara sebanyak 20 455 atau 63 peratus isi rumah berada dalam golongan miskin luar bandar.

Ramadan sebagai ruang untuk ummah mempertingkat amal kebaikan seperti melalui sedekah jariah.

Kerajaan telah dan terus merintis pelbagai usaha bagi menangani masalah kemiskinan. Namun begitu, ummah juga, terutama mereka yang dilimpahi dengan nikmat rezeki yang berlebihan, turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang miskin. Ayat 8 hingga 9 Surah al-Insan menjelaskan ciri-ciri abrar. Abrar merupakan golongan yang sentiasa berbuat kebaikan, iaitu mereka yang memberikan makanan atau bantuan kepada golongan fakir miskin semata-mata kerana Allah SWT.

Ramadan memberikan ruang yang baik untuk ummah mempertingkat amal kebaikan bagi membantu fakir miskin dengan mencontohi sunah Baginda SAW yang gemar bersedekah dalam bulan Ramadan. Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Abbas r.a. mafhumnya: “Rasulullah ialah orang yang paling lancar (dermawan) dalam segala kebaikan dan Baginda lebih dermawan pada bulan Ramadan, maka Baginda ialah orang yang paling lembut dalam segala kebaikan melebihi bayu angin yang bertiup.”

Antara perkara yang sangat ditegah dalam Islam termasuklah pembaziran. Berpandukan kajian, tercatat kira-kira 17 ribu tan sisa makanan dibazirkan pada setiap hari di Malaysia. Secara purata, setiap keluarga di Malaysia dianggarkan membuang sisa makanan antara 500 hingga 800 gram sehari. Pembaziran ini menyebabkan berlaku kerugian sebanyak RM210 sebulan, menyamai jumlah kerugian sebanyak RM2600 setahun bagi setiap isi rumah.

Rekod menunjukkan bahawa pada hari, bulan dan musim perayaan seperti bulan Ramadan dan Syawal, atau ketika berlangsungnya sesuatu acara sambutan, sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah meningkat sebanyak 25 peratus daripada hari biasa. Fakta menunjukkan berlaku paling banyak pembuangan sisa makanan pada bulan Ramadan. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mendapati, dalam bulan Ramadan, penyumbang terbesar pembuangan sisa makanan ialah isi rumah, iaitu sebanyak 38 peratus, berbanding dengan 25 peratus sisa makanan yang dibuang di pasar basah, 23 peratus di restoran, dan 7.0 peratus di hotel.

Jika ummah memiliki rasa insaf dan mula mengamalkan sikap jimat cermat, dipercayai lebih banyak bahan makanan dapat diselamatkan daripada berakhir di dalam tong sampah, sekali gus lebih banyak orang susah dan golongan yang menghadapi kelaparan kerana ketandusan bekalan berpeluang mendapatkan bantuan makanan.

Rasulullah SAW sangat menegah perbuatan membazir seperti yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud,

Sesungguhnya Rasulullah SAW melintasi satu kawasan dan melihat Sa‘ad Ibn Abi Waqqas r.a. sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: ‘Pembaziran apakah ini, wahai Sa‘ad?’ Maka Sa‘ad menjawab: ‘Adakah pada wuduk juga terdapat pembaziran?’ Lalu Baginda menjawab: ‘Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.’

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Kebelakangan ini terdapat begitu banyak hotel, restoran dan peniaga makanan yang menyediakan pakej bufet hidangan iftar Ramadan, dengan menawarkan harga daripada puluhan hingga ratusan ringgit seorang. Pakej tersebut menyajikan aneka juadah berbuka puasa. Diperhatikan banyak makanan yang tidak dapat dihabiskan oleh pelanggan, lalu berlaku pembaziran. Diperhatikan juga, pelanggan pula yang telah membayar harga pakej yang mahal, mengamalkan budaya yang tidak sihat dengan mengambil makanan secara berlebih-lebihan. Suasana ini memerlukan pelbagai pihak bermuhasabah.

Amalan berbuka puasa jangan sampai dijadikan pesta makanan untuk memenuhi naluri dan nafsu.

Dihargai usaha pelbagai pihak menyediakan pakej bufet Ramadan untuk memudahkan ummah berbuka puasa secara berkumpulan yang dapat meningkatkan hubungan silaturahim. Namun demikian, tujuan perniagaan dan tujuan mendapat keuntungan jangan sampai merosakkan tujuan utama dan tujuan sebenar ibadat puasa.

Amalan berbuka puasa jangan sampai dijadikan pesta makanan untuk memenuhi naluri dan nafsu. Sedarilah, wang yang dibelanjakan secara berlebih-lebihan semasa sesi berbuka puasa, lebih afdal disalurkan untuk membiayai makanan buka puasa dan sahur di masjid, surau, asrama sekolah, rumah anak yatim, rumah orang tua atau disalurkan untuk membantu fakir miskin atau membiayai pakej makanan berbuka dan bersahur yang dihadiahkan kepada golongan yang perlu menjalankan tugas selama 24 jam sehari, seperti anggota polis, anggota tentera, kakitangan hospital, pemandu kenderaan awam, serta pengendali tol dan jalan raya.

Umat Islam disarankan untuk melakukan perkara yang berikut:

  • Pertama: Melipatgandakan amal kebaikan terutama wakaf, infak dan zakat sepanjang Ramadan, di samping membantu golongan yang memerlukan. Ummah disarankan menyemaikan budaya wakaf dengan berwakaf walaupun seringgit sebulan melalui program waqaf365 di laman sesawang WaQaF365.
  • Kedua: Amalkanlah kesederhanaan sepanjang Ramadan dengan menjauhi sebarang bentuk pembaziran terutamanya semasa menyediakan juadah berbuka puasa.
  • Ketiga: Ramadan bukan bulan yang semata-mata mengkhususkan ibadah fardi, iaitu ibadah perseorangan, malah untuk menginsafi penderitaan golongan fakir miskin.
  • Keempat: Menyelami dan menghayati kesusahan pelbagai pihak lalu tampil menghulurkan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal, orang yang dalam keuzuran dan golongan yang terpaksa berhutang serta senantiasa terputus bekalan makanan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami kesihatan yang berkekalan, membolehkan kami menunaikan ibadat. Hindari kami daripada melakukan perkara yang mengundang dosa, sehingga menyebabkan terhapusnya pahala ibadat puasa kami. Janganlah Engkau keluarkan kami dari bulan ini melainkan segala dosa kami telah diampunkan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

Foto: Mohd Farid Janudin dan Canva

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 31 Mac 2023, bertajuk “Puasa: Menginsafi Kemiskinan – Menjauhi Pembaziran”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.