Oleh Firdaus Mul
26 Mac 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah hampir tujuh tahun terputus hubungan diplomasi, akhirnya Arab Saudi dan Iran bersetuju untuk menjalinkan semula hubungan diplomatik, baru-baru ini.

Perkembangan hubungan dua kuasa besar tersebut merupakan sinar baharu di Timur Tengah, jelas Dr. Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar, baru-baru ini, menerusi temu bual rancangan “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV.

Dr. Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar,

Menurut beliau yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), faktor perjanjian damai antara Arab Saudi dengan Iran dapat difahami melalui lensa teori hubungan antarabangsa, iaitu teori realisme.

Jelas beliau,

Mana-mana negara mempunyai kepentingan masing-masing, maka mana-mana negara juga bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja demi memastikan kedaulatan dan kepentingan nasional negara akan terus terpelihara.

Oleh hal yang demikian, dalam konteks perjanjian damai antara Arab Saudi dengan Iran tercetus kerana kedua-dua negara berusaha memenuhi kepentingan nasional negara masing-masing.

Dari sudut senario semasa, perdamaian tersebut membuka ruang kepada perdamaian di Yaman. Hal ini dikatakan demikian kerana Arab Saudi dan Iran merupakan proksi perang dalam pergolakan di Yaman.

Menurut Dr. Wan Rohila lagi, “Pihak Arab Saudi sendiri melihat perjanjian damai berkenaan sebagai usaha awal untuk negara tersebut berdiri sendiri dalam menentukan dasar luar sendiri lari daripada bayangan Barat.”

“Dari sudut Iran pula, Iran selama ini dilihat agak negatif oleh masyarakat antarabangsa. Jadi dengan pengenduran dan sanggup untuk berdamai dengan China, imej Iran dilihat sebagai negara yang sudah mula bertoleransi dan mula mahu menyertai masyarakat antarabangsa,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa dunia Islam menyambut baik perjanjian damai tersebut.

“Dari sudut Malaysia, perjanjian damai tersebut memberikan ruang yang jelas mengenai rakan strategik,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.