Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah 2:183).
Ayat tersebut ialah perintah kewajipan berpuasa yang difardukan oleh Allah SWT kepada orang yang beriman. Selama sebulan Ramadan, umat Islam difardukan berpuasa pada setiap hari, menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Terkandung pelbagai kelebihan dan ganjaran pada bulan Ramadan yang tidak ada dalam bulan lain.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Sesungguhnya Ramadan telah datang kepada kamu, bulan yang penuh keberkatan. Padanya Allah memfardukan puasa ke atas kamu, padanya pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu dan padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapatkan kebaikan dalamnya, maka sesungguhnya dia telah terhalang daripadanya.
(Hadis riwayat Ahmad)
Tujuan disyariatkan puasa adalah untuk membolehkan ummah meraih ketakwaan. Maha suci Allah menjadikan bulan ini penuh dengan rahmat dan keberkatan. Bagi meraih ketakwaan tersebut, segala kebaikan dilipatgandakan ganjarannya, segala kelebihan dan keistimewaan dicurahkan kepada hamba-Nya.
Ramadan diibaratkan seperti madrasah atau sekolah, membolehkan orang beriman melatih diri supaya bersifat sabar, memupuk ihsan, menahan nafsu, mendisiplinkan diri, menggandakan ibadat, seterusnya melakukan perubahan.
Ramadan merupakan medan mendidik diri; menawarkan peluang untuk ummah mempertingkat iman, memperbaiki diri ke arah lebih baik, serta membersihkan jiwa dan rohani, di samping beroleh manfaat kesihatan tubuh badan. Pelbagai amal kebaikan dan ibadat dianjurkan untuk dilipatgandakan pada bulan Ramadan, antaranya termasuklah membaca al-Quran, bertadarus, bersolat tarawih, bertahajud, berzikir, beristighfar, berselawat, beriktikaf, bersedekah, bersahur, serta menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.
Ramadan mengandungi keistimewaan, menjelmakan suasana ibadat yang luar biasa, menyuntik semangat berlumba-lumba dalam kalangan orang yang beriman untuk melakukan kebaikan dan kebajikan. Ramadan menghidupkan jiwa insani, sifat belas kasihan dan sifat pemurah. Berpuasa menginsafkan manusia betapa penderitaan yang dialami oleh golongan fakir miskin yang terpaksa berlapar dahaga kerana tiada makanan atau terputus bekalan makanan.
Ketika berpuasa, ummah dituntut menjaga adab-adabnya, antaranya termasuklah meninggalkan perbuatan yang sia-sia, tidak berdusta, tidak mengumpat, tidak tidur berlebihan pada siang hari, berjimat cermat dan tidak melakukan pembaziran, menjaga pancaindera daripada mengundang perbuatan dosa, dan menjauhi perbuatan yang boleh mengakibatkan terhapusnya pahala ibadat, mengakibatkan puasa sekadar perbuatan menahan lapar dan dahaga.
Yang berikut merupakan keistimewaan yang terkandung atau berlaku pada bulan Ramadan:
Sekiranya tersurat bahawa Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir untuk kita, berazamlah, bertekad dan mohon ihsan Ilahi agar membuka pintu hati kita untuk menjadikan Ramadan pada kali ini Ramadan yang terbaik bagi kita, yang dipenuhi dengan sebanyak-banyak amal dan ibadat. Umat Islam turut diingatkan agar segera menunaikan zakat fitrah yang diwajibkan ke atas ummah.
Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami, serta ahli keluarga kami, kesihatan untuk membolehkan kami melaksanakan satu daripada Rukun Islam yang lima, iaitu berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Sembuhkan kami daripada segala penyakit. Berkati rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dengan membuka pintu hati kami agar bersifat pemurah untuk bersedekah jariah. Terimalah ibadat puasa dan segala ibadat kami dalam bulan yang mulia ini.
Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 24 Mac 2023, bertajuk “Ibadah Ramadan: Memperbaiki Diri – Memperkasa Ummah“)