22 Mac 2023, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramadan merupakan bulan Islam yang kesembilan dalam kalendar hijrah. Ramadan bermaksud panas dan sangat terik kerana cuaca di Tanah Arab pada bulan tersebut sangat panas dan terik. Oleh itu, berpuasa pada bulan Ramadan memberikan cabaran yang sangat hebat. Tanpa kesabaran dan kekuatan jiwa serta tubuh badan yang kuat, belum tentu puasa dapat diteruskan dengan baik.

Ramadan bulan yang berkat

Bulan Ramadan menjadi bulan yang mulia dan penuh keberkatan kerana Allah SWT telah memilih beberapa peristiwa besar berlaku pada bulan ini. Antaranya termasuklah peristiwa penurunan al-Quran. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah 2:185). Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar.” (Surah al-Qadr 97:1).

Bersesuaian dengan bulan Ramadan sebagai bulan al-Quran, kita sangat digalakkan membaca al-Quran pada setiap hari sepanjang bulan tersebut. Sebaik-baiknya, apabila memasuki bulan Ramadan, niatkan agar dapat mengkhatamkan al-Quran paling kurang sekali dalam bulan mulia ini. Para ulama silam merehatkan kelas pengajian lain dengan menggantikannya dengan halakah membaca al-Quran. Imam al-Syafii rahimahullah mengkhatamkan 60 kali bacaan al-Quran sepanjang Ramadan.

Ganjaran yang berlipat ganda bagi orang yang membaca al-Quran pada bulan Ramadan.

Dalam bulan ini juga terdapat satu malam yang penuh keberkatan yang tidak terdapat dalam bulan yang lain, iaitu malam al-qadr. Malam al-qadr ialah malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan diturunkan para malaikat. Orang yang dapat mengisi malam al-qadr tersebut dengan ibadat sunat seperti membaca al-Quran, beristighfar, bertahajud dan berzikir ikhlas kepada Allah SWT akan dikurniakan  keberkatan dalam hidupnya. Allah SWT akan mengabulkan segala permohonannya dan kehidupannya beroleh ketenangan, kebahagiaan, dan jauh daripada kegusaran atau tekanan hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr 97:2-5).

Allah SWT akan mengampunkan dosa orang mukmin yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala. Semua anak Adam melakukan dosa dan kesalahan sama ada disedari ataupun tidak. Maka itu, puasa yang kita laksanakan kerana mengharapkan keredaan Allah SWT akan dapat membersihkan diri daripada dosa yang pernah dilakukan sebelum ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 38).

Rebut kebaikan pada bulan Ramadan

Selain berpuasa wajib, umat Islam juga digalakkan supaya banyak melakukan amalan sunat yang lain seperti qiamullail, bersedekah dan bertarawih. Lakukan amalan sunat dengan rasa keimanan dan ketakwaan yang tinggi untuk meraih reda Allah SWT. Ganjaran besar menanti bagi orang yang beribadat dengan penuh keikhlasan.

Umat Islam digalakkan agar banyak melakukan amalan sunat seperti bersedekah pada bulan Ramadan.

Setiap mukmin hendaklah bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Kerugian yang sangat besar bagi orang yang bertemu Ramadan, tetapi tidak mendapat keampunan Allah SWT. Ramadan yang dilalui berlalu begitu sahaja seperti bulan yang lain. Ramadan tidak mendatangkan manfaat kepada dirinya kerana mereka tidak mengambil kesempatan yang ada dalam bulan Ramadan untuk berpuasa dan membanyakkan ibadat sunat yang lain. Amal ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan akan berlipat kali ganda pahalanya jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang lalu diberikan kepada hamba Allah yang bersungguh-sungguh beribadat sepanjang bulan mulia ini. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa ketika Rasulullah SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: “Amin, amin, amin (sebanyak tiga kali)”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Lalu Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu berkata: ‘Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT. Katakanlah wahai Muhammad: ‘Amin.’ Maka aku katakan amin.’” (Hadis riwayat Ibn Hibban, no. 97).

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mengerjakan solat malam (dalam bulan Ramadan) kerana iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 37).

Pada bulan Ramadan juga semua pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Hal demikian ini tidak terdapat dalam bulan yang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila menjelma Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3227).

Berdasarkan hadis tersebut, kita dapat fahami bahawa semua syaitan dibelenggu dan diikat apabila masuknya bulan Ramadan. Selain godaan syaitan sebagai musuh utama manusia, hawa nafsu juga menjadi penghalang kuat untuk kita melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Orang yang tunduk dan selalu menurut hawa nafsu pasti tidak dapat menyempurnakan ibadat puasa dengan sempurna.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.” (Surah Taha 20:16). Dalam bulan Ramadan, kita boleh melihat sejauh mana kekuatan diri untuk melawan hawa nafsu. Orang yang mampu mengawal hawa nafsunya dengan baik, akan memandu dirinya ke arah kebaikan.

Orang mukmin yang bertakwa akan menanti Ramadan dengan penuh kerinduan dan kegembiraan, serta akan membuat persediaan hati dan jiwa. Mereka bukan sahaja melaksanakan puasa, malah melakukan perkara sunat ketika berpuasa dan juga ibadat sunat sebagaimana yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW merupakan orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan.

Bersahur juga merupakan satu daripada keberkatan yang boleh diraih oleh orang yang berpuasa. Ibu bapa hendaklah melatih anak-anak bersahur untuk mendapat keberkatan tersebut. Bangunlah bersahur walaupun dengan segelas air putih. Ajari anak-anak tentang keberkatan bersahur. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no 1923). Dalam satu hadis yang lain, daripada Amr bin al-‘As r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1096).

Bagi orang yang berpuasa, Allah SWT menyediakan baginya pintu syurga al-Rayyan. Hanya orang berpuasa yang boleh memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan, khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1763).

Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana masih memberikan peluang kepada kita untuk berada dalam bulan Ramadan pada tahun ini. Jangan mensia-siakan Ramadan tanpa diisi dengan amal dan bersungguh-sungguhlah melaksanakan ibadat puasa. Berusahalah melaksanakan puasa yang terbaik dan jangan mengabaikan perkara sunat yang mempunyai banyak kelebihan kerana belum tentu kita dapat bertemu Ramadan pada tahun akan datang.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.