17 Mac 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam), dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran 3:104)

Polis Diraja Malaysia ditugaskan oleh negara untuk menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara. Ayat 104 Surah Ali ‘Imran tersebut merupakan peringatan Allah SWT agar hamba-Nya menyeru melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Polis Diraja Malaysia merupakan pasukan yang diamanahkan dengan tanggungjawab untuk menjamin berlakunya kebaikan dan mencegah berlakunya keburukan, demi menjamin masyarakat hidup dalam suasana aman dan selamat, berlandaskan peraturan dan undang-undang.

Polis Diraja Malaysia mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menjaga keamanan negara.

Suasana hidup yang aman dan selamat membolehkan rakyat bebas menjalankan pelbagai kegiatan, melakukan pelbagai kerja dan mengurus pelbagai perniagaan untuk mencari rezeki tanpa rasa takut dan bimbang. Negara yang aman dan selamat menjadi prasyarat untuk membina keyakinan para pelabur serta merancakkan kegiatan ekonomi, lantas dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Negeri Perak mempunyai lebih 2.4 juta orang penduduk. Bilangan anggota polis di negeri Perak adalah sebanyak 7894 orang, dan bertugas di 15 daerah polis. Mereka diamanahkan untuk memastikan 2.4 juta orang penduduk dapat melalui kehidupan dalam suasana aman dan selamat serta membendung jenayah daripada berlaku. Selain itu, mereka juga diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mengawal sempadan daripada ditembusi musuh dan kegiatan penyeludupan, serta melakukan rondaan di bandar, di desa, di pinggir hutan, di kawasan perairan, darat dan udara pada sepanjang masa. Dengan bilangan anggota yang terhad, sumber kewangan yang terbatas, dan peralatan yang seadanya, Polis Diraja Malaysia menanggung amanah yang sangat berat, dan perlu memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh negara, serta hasrat yang diharapkan oleh rakyat.

Menyedari batas-batas yang dihadapi oleh anggota polis, masyarakat wajib tampil ke hadapan dan berperanan aktif membantu tugas anggota polis, terutama untuk menguatkuasakan undang-undang dan membendung kegiatan jenayah. Masyarakat boleh berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak polis dengan memberikan kerjasama serta menyalurkan maklumat agar tindakan segera dapat diambil bagi mencegah dan mengekang kegiatan jenayah. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya, jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

(Hadis riwayat Muslim)

Berkat kegigihan anggota polis menyempurnakan tugas berserta kerjasama pelbagai anggota masyarakat, perangkaan menunjukkan penurunan kadar Jenayah Indeks Malaysia daripada 52 974 kes yang direkodkan pada tahun 2021 kepada 50 819 kes yang direkodkan bagi tahun 2022.

Tahun 2022 dimulakan dengan kejayaan besar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Perak, iaitu kejayaan melakukan rampasan terbesar ketamin bernilai lebih 111 juta ringgit pada 16 Januari 2022. Sepanjang tahun 2022, Jabatan Jenayah Narkotik Negeri Perak mencatat rekod merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan mencecah 138 juta ringgit. Dalam tempoh yang sama, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Perak telah menyiasat 2053 kes penipuan membabitkan nilai kerugian berjumlah 100 juta ringgit.

Polis Negeri Perak amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh masyarakat. Oleh itu, pelbagai pendekatan untuk mendampingi rakyat dan mendekati masyarakat dirintis, antaranya termasuklah Aktiviti Kepolisan Komuniti, Aktiviti Kepolisan Berprofil Tinggi dan Aktiviti Kayuhan Perpaduan PDRM Ipoh.

Antara tugas semakin mencabar yang dihadapi oleh Polis Diraja ketika ini termasuklah:

  • Pertama: Penularan berita palsu yang sukar dikawal yang tersebar begitu luas dan pantas melalui media sosial yang, menyebabkan bertambah beban tugasan untuk menangani perkara yang sering kali tidak pun wujud, tetapi mencetuskan kegelisahan kepada masyarakat.
  • Kedua: Kebanjiran dadah tiruan dan dadah asli yang diseludupi dari luar serta kawasan sempadan yang memerlukan bilangan anggota yang ramai untuk membolehkan kawalan secara berkesan.
Kemasukan dadah tiruan dan dadah asli yang berleluasa di negara ini memerlukan lebih kawalan tenaga anggota polis.
  • Ketiga: Penagihan dadah berulang dan penagih tegar menyebabkan bilangan penagih di negeri Perak semakin bertambah; para penagih juga menjadi punca pelbagai kegiatan jenayah dan penyebaran pelbagai jenis penyakit berbahaya.
  • Keempat: Kegiatan jenayah yang sering berubah dan kaedah melakukan jenayah secara lebih licik dengan penggunaan pelbagai alatan dan teknologi moden, yang turut melibatkan rangkaian penjenayah antarabangsa.

Anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab fardu kifayah untuk membantu meringankan tugas anggota polis dengan melakukan lima saranan seperti yang berikut:

  • Pertama: Segera laporkan sebarang kegiatan atau kehadiran orang yang mencurigakan, kerana makluman awal amat membantu usaha polis membanteras jenayah.
  • Kedua: Memanfaatkan segala kemudahan aplikasi yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia dengan memuat turun di telefon pintar masing-masing.
  • Ketiga: Menyimpan nombor talian kecemasan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam dalam telefon bimbit.
  • Keempat: Jawatankuasa masjid, rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kampung, badan-badan belia dan pertubuhan sukarela melibatkan diri dalam program pencegahan jenayah yang dianjurkan oleh pihak polis.
  • Kelima: Sepanjang tahun 2022, Kontinjen Polis Perak menerima 286 064 laporan. Setiap laporan perlu dibuka kertas siasatan dan dilakukan siasatan. Setiap tugas siasatan pula mengambil banyak masa dan tenaga anggota. Oleh itu, anggota masyarakat hendaklah mengambil tanggungjawab agar tidak memandang ringan dan menambahkan bebanan tugas polis dengan begitu mudah melakukan laporan perkara yang remeh-temeh, apatah lagi jika laporan palsu.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia yang begitu berjasa kepada rakyat dan negara, begitu juga ucapan terima kasih kepada anggota keluarga Polis Diraja Malaysia yang turut melakukan pelbagai pengorbanan.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kekalkan nikmat keamanan negara kami. Tautkan hati kami bersama, agar saling membantu melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran. Berilah perlindungan kepada anggota pasukan keselamatan dan cucurilah rahmat-Mu kepada anggota yang terkorban semasa menjalankan tugas. Limpahi ihsan kasih-Mu dan tempatkan roh mereka yang terkorban semasa menjalankan tugas dalam kalangan roh para orang soleh yang berakhir di Syurga Firdaus. Tabahkan jiwa para anggota polis agar terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan bangsa; cekalkan hati ahli keluarga mereka yang turut memberikan pengorbanan.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah, serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 17 Mac 2023 bertajuk “Polis dan Masyarakat: Meningkatkan Persefahaman – Merangkaikan Kerjasama”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.