15 Mac 2023, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengembalikan aura musabaqah tilawah al-Quran melalui Pertandingan IIUM Musabaqah 2023 yang pertama kalinya dianjurkan oleh Mahallah Sumayyah dan Mahallah Bilal, UIAM.

Program perintis yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mac 2023 di Auditorium Utama UIAM ini memperoleh suntikan dana daripada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari), Jabatan Agama Islam Selangor.

Pihak penganjur berbesar hati mendapatkan kepakaran tiga orang pensyarah bahagian Tilawah, Centre for Languages and Pre-University Academic Development (CELPAD), UIAM, untuk menjadi juri pertandingan ini, iaitu Ustaz Muhammad Asfandyar Dilawar Khan, Ustaz Mujahid Ahmad Lutfi dan Ustaz Ahmad Amirul Ashraf Mohd Rusdan, yang mengadili bahagian taranum dan suara, tajwid serta kefasihan.

Pengetua Mahallah Sumayyah UIAM menegaskan bahawa program sebegini menggalakkan mahasiswa di menara gading membaca al-Quran mengikut lunas-lunas bacaan yang betul dan mendapatkan pendedahan yang sewajarnya menerusi pelibatan mereka dalam usaha melahirkan generasi bijak dan celik al-Quran, seiring dengan pemilihan UIAM sebagai penganjur World Quran Hour pada tahun 2023.

Dalam musabaqah tersebut, Muhammad Hafiz Bukhari dan Nur Busyra dinobatkan sebagai penyandang johan.

Kedua-dua peserta ini memperoleh markah tertinggi sebanyak 95 peratus dan mengalahkan 18 peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Auditorium Utama, UIAM.

Johan setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM120, piala iringan dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Centre for Islamisation (CENTRIS), UIAM, YBhg. Dato’ Hamidon Abd. Hamid.

Penyertaan yang diterima amat menggalakkan dengan penglibatan pelajar tempatan dan antarabangsa serta pelajar program mobiliti dari Universiti Marmara, Turki.

Sesi bergambar sewaktu Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah IIUM Musabaqah Tilawah al-Quran 2023 di Auditorium Utama, UIAM.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.