Oleh Firdaus Mul
8 Mac 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Industri halal di Malaysia bukan hanya semata-mata tertumpu pada makanan, bahkan juga meliputi bidang perubatan, farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, dan pelbagai lagi. Hal ini dijelaskan oleh YB Tuan Haji Zawawi Ahmad Mugni yang juga merupakan Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Negeri Selangor dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM baru-baru ini bagi mengupas topik “Belanjawan Malaysia Madani: Pemerkasaan Sektor Industri Halal”.

YB Tuan Haji Zawawi Ahmad Mugni.

“Jika dilihat unjuran pada tahun 2030, dijangkakan urus niaga berkaitan dengan industri halal di Malaysia melebihi USD113.2 bilion. Di Selangor kami telah mewujudkan satu portfolio yang disebut sebagai Jawatankuasa Tetap Industri Halal yang bertujuan untuk memperkasakan industri halal dan menjadi jambatan antara pengurusan sijil halal dengan sektor industri,” katanya.

Menurutnya, YAB Datuk Menteri Besar Selangor telah melancarkan Rancangan Selangor Pertama dalam tempoh lima tahun, yang antara fokusnya adalah untuk membangunkan ekonomi halal dalam ekosistem yang lebih terpadu dan membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Tambah beliau lagi, “Di Selangor ada banyak usahawan yang mengeluarkan produk halal, antaranya KO Hijrah, iaitu program pembiayaan kepada usahawan yang ingin mengeluarkan produk dan perkhidmatan, terutamanya yang berkaitan dengan makanan dan barangan yang lain. Untuk menggerakkan ekonomi halal di negeri Selangor, terdapat Hab Halal di Pulau Indah yang sekarang ini banyak kilang dan produk yang dihasilkan daripada projek tersebut, di samping Selangor Halal Economic Zone yang sedang dalam proses penubuhan. Saya percaya dengan adanya ekosistem halal ini akan merancakkan lagi ekonomi yang berkaitan dengan industri halal.”

“Di negeri Selangor ada Invest Selangor yang bertujuan untuk menarik pelaburan, dan kami bekerjasama dalam usaha untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pilihan dalam pelaburan, terutamanya dalam sektor industri halal. Beberapa misi ke luar negara akan diadakan untuk bertemu dengan syarikat yang mempunyai pasaran dan juga potensi yang besar. Peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Selangor untuk industri halal sedang dirancang untuk mewujudkan makmal halal bagi mempercepatkan proses pensijilan halal”, ujar beliau.

Menurut Tuan Haji Mat Ghazali Abd. Rakim pula selaku panel kedua dalam rancangan tersebut, selain daripada modal, pasaran yakni padanan perniagaan juga antara kekangan yang dihadapi oleh pemain industri halal.

Tuan Haji Mat Ghazali Abd. Rakim.

Beliau menjelaskan tentang program Selangor International Halal Convension  (SELHAC) yang kali kedua akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Exco Agama Islam, Industri Negeri Selangor, dan penganjuran kali ini akan diadakan di World Trade Center (WTC), Kuala Lumpur. Program tersebut juga dikatakan melibatkan pemain industri daripada dalam dan luar negara.

“Pada tahun yang pertama kita anjurkan SELHAC, kita mendapat padanan perniagaan sebanyak 38 juta, dan dijangkakan pada kali ini kita akan mencapai lebih daripada 50 juta padanan perniagaan. Yakni, pengeluar industri produk halal ini akan dipadankan dengan pembeli dalam program SELHAC ini. Kita juga menjangkakan pengunjung pada kali ini akan melebihi antara 8000 hingga 10 000 pengunjung dan perkembangan pasaran akan jadi lebih besar,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.