3 Mac 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahaya Kurang Cecair dalam Badan

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak ada juga yang beriman?”

(Surah al-Anbiya’ 21:30)

Air merupakan sumber tenaga yang amat penting untuk kelangsungan hidup.

Dalam al-Quran, istilah air diulang sebanyak 63 kali dalam 42 surah. Hal ini mengisyaratkan bahawa air menurut al-Quran merupakan sumber kekayaan alam yang sangat penting, berharga, serta memiliki daya gunaan dan manfaat yang sangat besar bagi kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Air merupakan sumber kehidupan yang amat penting untuk kelangsungan hidup. Semua makhluk yang hidup, khususnya manusia memerlukan air dalam urusan harian. Malah, air berperanan penting dalam hampir setiap fungsi tubuh badan manusia.

Menurut ilmu kesihatan, setiap sistem dalam tubuh manusia memerlukan air bahkan sebahagian besar badan merangkumi cecair. Tubuh badan menjadi sihat jika memiliki air yang cukup, sebaliknya tubuh badan akan menghadapi pelbagai masalah kesihatan jika kekurangan air. Dalam istilah perubatan, badan yang kurang cecair disebut mengalami dehidrasi.

Kegagalan tubuh badan mendapat air yang cukup akan membawa mudarat dan masalah kesihatan kerana 70 peratus daripada badan manusia terdiri daripada cecair. Badan kita kehilangan air menerusi pembuangan air kecil, pernafasan dan berpeluh. Kehilangan air daripada badan wajib segera diganti dengan meminum air atau mengambil cecair.

Secara umumnya, sebahagian daripada proses usia tua atau penuaan semula jadi, orang yang mencecah usia lebih 60 tahun berhenti atau kurang berasa dahaga kerana mekanisme atau jentera perimbangan dalam badan mereka sudah tidak lagi berfungsi dengan baik. Oleh sebab itu, mereka berhenti atau kurang meminum air sehingga menyebabkan badan mereka kurang memiliki cecair. Hal ini boleh menyebabkan rizab air di dalam tubuh mereka berparas rendah dan meletakkan tubuh mereka berada dalam keadaan dehidrasi. Akibatnya, fungsi kimia dalam badan mereka akan terjejas dan rosak, yang boleh menyebabkan mental menjadi keliru atau fikiran menjadi pelupa, serta mereka mudah kehilangan tumpuan atau fokus dan mudah marah. Kekurangan cecair dalam badan turut menyebabkan berlakunya penurunan tekanan darah, peningkatan denyutan jantung, angina (sakit dada) dan sesak nafas, dan lebih memudaratkan boleh berlaku koma, hatta berkemungkinan juga mengakibatkan kematian.

Lima perkara berikut hendaklah difahami untuk  tubuh kita memiliki kandungan air yang cukup:

  • Pertama: Air ialah bahan utama dalam darah yang berfungsi melancarkan peredaran darah dan pengeluaran peluh.
  • Kedua: Pengambilan air yang cukup dan betul membantu mengawal berat badan dan menghindarkan kegemukan.
  • Ketiga: Air berfungsi menyelaraskan suhu badan, membekalkan zat makanan (nutrisi) kepada anggota badan, juga membantu proses penghadaman, dan bertindak sebagai cecair yang membawa oksigen kepada bahagian kecil sel dalam tubuh badan.
  • Keempat: Air bertindak sebagai pelincir kepada sendi dan anggota badan seperti mulut, mata dan hidung. Air yang mencukupi dapat mengurangkan bebanan kerja buah pinggang dan mengurangkan risiko batu karang. Hati juga akan berfungsi menyingkirkan bahan buangan dan bahan beracun melalui pembuangan air kecil.
  • Kelima: Kekurangan air akan mengakibatkan tubuh menjadi letih dan tidak bermaya, menanggung gejala sakit kepala, kesakitan di bahagian otot dan menghadapi masalah sembelit; kulit pula akan menjadi kering, berlaku pengecutan kulit yang menjadikan tubuh badan kelihatan lebih tua daripada usia.

Penjagaan kesihatan merupakan suatu kewajipan yang menepati satu daripada tujuan syarak menyeru ummah untuk sentiasa memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat sejahtera. Amalkan kegiatan yang sihat sebagai langkah pencegahan awal mengelak daripada menghidapi penyakit kurang cecair dalam badan.

Kekurangan air dalam badan boleh mendatangkan pelbagai penyakit.

Berikut disenaraikan beberapa kesimpulan dan saranan yang boleh dilakukan:

  • Pertama: Penjagaan kesihatan diri merupakan kewajipan setiap Muslim selaras dengan sabda Baginda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Dan ke atas diri kamu itu ada hak yang perlu ditunaikan.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Kedua: Minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari. Mulakan kehidupan harian dengan meminum segelas air sebaik bangun daripada tidur. Digalakkan membawa botol dan bekalan air terutama untuk anak-anak dan hendaklah minum cecair secara berkala dalam tempoh tidak melebihi dua jam.
Galakkan anak-anak supaya sentiasa membawa bekal air minuman dan minum air secukupnya setiap hari.
  • Ketiga: Air kosong hendaklah menjadi pilihan utama. Bahan cecair lain merangkumi jus, air kelapa, susu, sup dan sayuran serta buah-buahan yang kaya dengan air, seperti timun, tembikai, nanas dan oren. Kurangkan pengambilan air yang mengandungi soda, gas, gula yang tinggi dan bahan-bahan perasa serta berwarna. Cecair yang dipilih sebagai minuman akan mempengaruhi tahap kesihatan seseorang dengan mengambil iktibar firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya: “Tidakkah kamu memerhatikan air yang kamu minum?”

(Surah al-Waqiah 56:68)

  • Keempat: Dinasihatkan meminum air yang lebih dalam kalangan ahli sukan atau mereka yang bekerja di bawah panas matahari atau mereka yang semasa bekerja banyak berpeluh.
  • Kelima: Mengingatkan ahli keluarga setiap hari, terutama warga yang telah berusia lebih 60 tahun, begitu juga kanak-kanak agar mengambil air yang secukupnya.
  • Keenam: Masjid, surau, sekolah dan pejabat menyediakan kemudahan dan bekalan air minuman yang bersih dan dirawat untuk kemudahan ummah.
  • Ketujuh: Mewakafkan mesin penapis air dan kemudahan air minuman yang bersih dan dirawat di tempat-tempat awam.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Kurniai kami kesihatan tubuh badan yang baik agar dengannya kami dapat melaksanakan ibadat, dan memudahkan kami menunaikan fardu ain dan fardu kifayah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat 3 Mac 2023 bertajuk “Bahaya Kurang Cecair dalam Badan”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.