Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – “Sebut sahaja jemaah haji Malaysia, Arab Saudi mengiktiraf jemaah kita sebagai jemaah yang terbaik di dunia. Apa-apa yang bakal jemaah haji buat merupakan panduan yang akan dirujuk ketika berada di tanah suci kelak. Apa-apa yang kita jalani semasa latihan ini akan kita alami di sana. Yang berbeza mungkin cuaca.” Demikian menurut Pengarah Tabung Haji Perak, Tuan Haji Mohammad Abas, pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Haji (KAH) Daerah Kinta bagi musim Haji 1444H/2023M yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).

Tuan Haji Mohamad yang menyempurnakan majlis perasmian penutup tersebut berpesan supaya calon haji sentiasa bersedia dengan surat panggilan yang akan diserahkan pada bila-bila masa sahaja. Semua urusan akan dilakukan menggunakan aplikasi THiJARI. Beliau juga turut memberikan pesanan dan pedoman kepada bakal jemaah haji supaya sentiasa menjaga sikap di tanah suci.
Majlis penutup tersebut yang berlangsung pada 25 Februari 2023 dilaksanakan bersempena dengan selesainya 13 siri kursus haji yang telah diadakan pada setiap hujung minggu. Untuk rekod, Kursus Asas Haji ini telah bermula sejak 3 Disember 2022 hingga 25 Februari 2023. Bagi Daerah Kinta, tempat kursus haji melibatkan empat buah masjid, iaitu Masjid Sultan Azlan Shah (Ipoh), Masjid al-Muttaqin (Taman Meru), Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) dan Masjid Toh Puan Besar Hatijah (Masjid Daerah Batu Gajah).
Modul yang diikuti oleh para peserta mencakupi sejarah dan pengenalan tentang tanah suci Makkah dan Madinah, falsafah dan pengisian jiwa, serta penerangan ringkas tentang ibadat haji dan umrah. Seterusnya, peserta juga berpeluang mengikuti modul rukun haji, wajib haji, jenis haji dan cara mengerjakan haji, aurat, izin suami, taharah dan solat, fiqah wanita dalam ibadat haji, kesihatan haji, pengurusan haji serta latihan teori dan amali.
Ketika membuat rumusan, Ustaz Haji Mohd Karim Abd Samad yang merupakan seorang daripada pembimbing haji menyatakan cukup berpuas hati dengan latihan teori dan praktikal yang diikuti oleh peserta. Beliau turut memaklumkan bahawa selepas ini, individu yang terpilih akan mengikuti kursus intensif dan perdana yang bertujuan untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada bakal jemaah haji yang pastinya akan berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran ketika berada di tanah suci nanti.

Makkah dan Madinah merupakan antara kota suci yang menjadi dambaan bagi umat Islam di seluruh dunia. Menunaikan haji merupakan Rukun Islam yang kelima. Petikan kitab Bughyah al-Tullab ada menyebut, “Perbincangan Ulama: Pendapat mengatakan kelebihan 100 ribu itu merangkumi seluruh Tanah Haram Makkah berdalilkan peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW berada di rumah Ummu Hani bukan di dalam Masjidilharam. Ulama menjelaskan bahawa Masjidilharam yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merujuk keberkatan ‘barakna haulahu’ kepada Tanah Haram seluruhnya.”