17 Februari 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan berasa) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa serta hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar; (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itulah orang yang memperoleh keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Baqarah 2:155-157).

Pada pagi, Isnin 6 Februari 2023, dunia dikejutkan dengan berlakunya bencana gempa bumi yang dahsyat di wilayah tenggara Turkiye dan utara Syria, yang mengakibatkan ratusan bangunan runtuh dan musnah, serta mengorbankan lebih 24 ribu nyawa. Rakyat Turkiye dan Syria sedang melalui penderitaan. Lebih 874 ribu orang terlibat dalam krisis kemanusiaan yang memerlukan bantuan makanan dan tempat tinggal; 5.3 juta orang dilaporkan hilang tempat tinggal di Syria. Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon peruntukan catuan makanan berjumlah 336 juta ringgit. Bencana yang berlaku merupakan ketentuan Allah SWT yang tentunya mengandungi hikmah dan pengajaran buat umat manusia.

Berdasarkan ayat 155 hingga 157 Surah al-Baqarah, manusia akan menempuh pelbagai musibah dan ujian, antaranya termasuklah dilanda pelbagai bencana alam seperti kemarau, banjir, ribut taufan, tanah runtuh dan gempa bumi. Namun begitu, orang yang beriman menempuh ujian dengan sifat sabar serta disusuli lafaz (إنا لله وإنا إليه راجعون) sebagai bukti keimanan terhadap segala musibah yang ditentukan oleh Tuhan Penguasa alam dan Pencipta manusia.

Setiap perkara yang berlaku merupakan ketentuan Ilahi yang berada di luar daya upaya manusia untuk menolaknya. Manusia hendaklah tidak terlalu cepat kecewa malah hendaklah meningkatkan takwa, memohon ihsan daripada Allah yang Maha Mengetahui sebab musabab sesuatu bencana dan berusaha menyelami sedalam-dalamnya untuk menemui apa-apa juga hikmah yang tersirat di sebalik kejadian. Umat Islam diingatkan tentang tiga perkara berikut:

  • Pertama: Bencana yang berlaku sewajibnya memperingatkan manusia kepada Allah SWT yang berkuasa melakukan apa-apa yang dikehendaki-Nya seperti yang tersurat dalam ayat 78 Surah al-A‘raf yang bermaksud, “Maka itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadi mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal masing-masing.”

Oleh itu, bencana yang berlaku ini, hendaklah menginsafkan diri kita untuk bersungguh-sungguh mematuhi suruhan Ilahi dan meninggalkan larangan-Nya.

  • Kedua: Menginsafi diri dan membuktikan rasa syukur kerana tidak dilanda musibah berat seperti ini, dengan mempamerkan ciri kesempurnaan iman, mengambil tanggungjawab membantu golongan yang berada dalam kesusahan berpandukan hadis Baginda SAW yang bermaksud, “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Umat Islam seharusnya melakukan pengorbanan kecil dengan menghulurkan sumbangan kewangan melalui tabung kutipan yang dilancarkan di seluruh negara. Atas perasaan keinsanan, seluruh rakyat Malaysia merentasi agama dan kaum diseru agar bersama-sama tampil menghulurkan sumbangan melalui pelbagai tabung dan pertubuhan kemanusiaan.

  • Ketiga: Memohon keampunan Allah SWT sambil berdoa agar mangsa dan keluarga mangsa diberikan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi, semoga mereka yang kehilangan rumah dan harta benda akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik, dan mereka yang terkorban digantikan dengan kehidupan di syurga.
Bencana alam yang berlaku merupakan ketentuan Ilahi yang berada di luar daya upaya manusia untuk menolaknya.

Meskipun segala perkara yang berlaku ditentukan oleh Ilahi, manusia juga diseru untuk berikhtiar dan berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi bencana. Gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria hendaklah membuka mata ummah di seluruh dunia untuk dijadikan pengajaran, antaranya termasuklah:

  • Pertama: Survival atau kelangsungan hidup mangsa yang terperangkap di dalam bangunan tertakluk pada tahap kemusnahan bangunan. Bangunan yang mempunyai daya tahan terhadap gegaran gempa bumi, mengurangkan risiko kemusnahan dan keruntuhan. Oleh itu, mulai sekarang, penting untuk diperkenalkan syarat baharu, iaitu semua bangunan tinggi yang mahu dibina termasuk di negara kita, diwajibkan memasang sistem kalis gegaran dan penyerap gempa bumi yang berupaya mengelak kerosakan pada bangunan apabila berlaku gempa bumi, lantas mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
  • Kedua: Pemaju, arkitek, jurubina, jurutera dan kontraktor, yang mengendalikan projek binaan hendaklah bersifat takwa, jujur dan telus dan tidak semata-mata mengejar keuntungan sehingga sanggup melakukan penipuan. Segala projek binaan, bangunan, sekolah, rumah, jalan raya, jambatan, jeti dan sebagainya hendaklah dibina mengikut syarat yang ditetapkan tanpa kompromi atau tolak ansur. Pihak berkuasa yang diamanahkan memantau dan memberikan kelulusan sesuatu projek, janganlah kerana sogokan, luntur maruahnya, tergamak hati mengetepikan syarat, memberikan kelulusan kepada binaan yang tidak memenuhi kualiti sehingga boleh mengakibatkan keselamatan dan nyawa manusia terancam.
  • Ketiga: Ketika diamanahkan membina atau memantau projek yang melibatkan kepentingan manusia seperti kerja-kerja pembinaan, baik pulih dan sebagainya, sikap kesungguhan dan ketelitian wajar menjadi amalan seiring dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang kamu yang apabila melakukan pekerjaan dia melakukan dengan teliti.” (Hadis Riwayat al-Tabarani).

Elakkan daripada melakukan kesilapan dan kecuaian yang mengundang ancaman keselamatan pengguna. Bayangkan, betapa banyak nyawa yang mungkin terkorban jika bangunan, jambatan, jeti dan jalan raya yang dibina tidak menepati syarat serta ciri-ciri keselamatan yang telah ditetapkan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-A‘alamin! Kami pohon agar Engkau berikan ketabahan dan kekuatan kepada pasukan petugas dan penyelamat, begitu juga pasukan perubatan serta sukarelawan yang melaksanakan pelbagai tugas fardu kifayah di Turkiye dan Syria pada ketika ini. Kurniai mereka kesihatan, lindungi mereka daripada sebarang bahaya, agar mereka selamat kembali ke tanah air dalam keadaan sihat dan sejahtera. Cucuri rahmat-Mu kepada hamba-hamba Mu yang terkorban, semoga dengan ihsan-Mu, mereka dikurniakan syurga-Mu. Tabahkan hati para mangsa serta gantikan musibah dengan kebaikan-Mu. Bukakan hati sekalian manusia untuk bersifat pemurah tampil menghulurkan bantuan dan pertolongan.

Ya Ni‘ma al-Wakil! Ya Ni‘ma al-Nasir! Engkaulah sebaik-baik yang memelihara kami. Kami berlindung dengan-Mu daripada bencana dahsyat yang memusnahkan harta dan nyawa.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhilah kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

Kredit foto: Angelo_Giordano from Pixabay dan 1001nights from Getty Images/Canva

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat 17 Februari 2023, bertajuk “Bencana Alam: Menyelami Hikmah – Mengambil Pengajaran”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.