27 Januari 2023, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr 15:9).

Mushaf berasal daripada perkataan bahasa Arab yang secara harfiah bermaksud kulit, iaitu kulit buku, tetapi digunakan dalam hubungan ini untuk merujuk senaskhah kitab al-Quran. Syeikh Muhammad bin Umar mentakrifkan al-mushaf sebagai setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran, seperti pada kayu, tiang atau dinding. Menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, al-mushaf ialah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT antara dua kulit. Boleh dirumuskan, sifat mushaf itu ialah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran, sama ada ditulis pada kertas atau kain dengan menggunakan dakwat, begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau tanah.

Al-Quran ialah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril a.s. secara berperingkat-peringkat, yang mengambil masa selama 22 tahun, dua bulan dan 22 hari. Al-Quran memiliki pelbagai mukjizat, antaranya termasuklah mukjizat bahasa, sains, syariat, matematik, perkhabaran lalu dan perkhabaran masa depan. Al-Quran disusun bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah al-Nas. Orang yang membaca al-Quran diganjari dengan kebaikan.

Berdasarkan ayat kesembilan Surah al-Hijr, ditegaskan bahawa kesucian dan kemuliaan al-Quran kekal terpelihara sejak diturunkan. Satu keistimewaan bagi al-Quran berbanding dengan kitab samawi yang lain ialah nasnya dipelihara oleh Allah SWT hingga hari kiamat. Dengan jaminan Allah SWT, kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia. Walaupun begitu, manusia yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di bumi ini, dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian al-Quran.

Akhbar bertarikh 27 Disember 2022, melaporkan kira-kira tujuh tan bahan hiasan berasaskan ayat al-Quran, ditemui di lokasi pembuangan sampah haram di Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan. Pada 21 Januari 2023 pula, Ramus Paludun, seorang pemimpin politik berhaluan kanan di Sweden, membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm. Perbuatan melampau tersebut mencetuskan kemarahan umat Islam di serata dunia. Sikap Kerajaan Sweden yang membenarkan Ramus Paludun membakar al-Quran dan perbuatan melampau Ramus Paludun dikecam dan dibantah keras oleh Malaysia dan beberapa negara Islam, juga oleh beberapa negara bukan Islam di serata dunia. Insiden sebegini amat memilukan hati umat Islam kerana al-Quran ialah kitab suci lagi mulia.

Kesucian al-Quran perlu dipelihara dengan cara mengamalkan adab yang digariskan dalam Islam.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan mengenai adab penjagaan al-Quran seperti yang berikut.

  • Pertama: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-13, sejak tahun 1985, menetapkan orang bukan Islam diharamkan menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barangan yang mengandungi ayat suci al-Quran.
  • Kedua: Al-Quran tidak boleh dilangkah atau diletakkan di atas lantai, atau di tempat yang terdedah kepada kemungkinan berlakunya kerosakan, seperti dimakan anai-anai, hujan, banjir dan sebagainya.
  • Ketiga: Berwuduk serta tidak dalam keadaan berhadas ketika menyentuh al-Quran yang lengkap, kecuali al-Quran yang berformat cakera optik atau paparan skrin telefon, dan al-Quran untuk orang buta.
  • Keempat: Al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat yang jijik dan tercemar seperti ke dalam tandas dan seumpamanya.
  • Kelima: Al-Quran yang mahu dihantar melalui kiriman pos, hendaklah dilakukan secara berdaftar, dibungkus dengan sempurna, dan diletakkan nota pemakluman agar pihak penghantar mengetahui isi kandungan kiriman. Walau bagaimanapun, kaedah penghantaran secara pos tidak digalakkan.

Memuliakan al-Quran bukan sekadar pada peringkat pemuliharaannya, malah meliputi urusan pelupusan. Al-Quran yang telah rosak dan uzur, sama ada dimamah usia atau kerana musibah banjir dan sebagainya, perlu dilupuskan dengan kaedah yang memperlihatkan adab yang memuliakannya. Sejarah Islam merakamkan perihal pelupusan al-Quran pada zaman Sayidina Uthman Affan r.anhu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.anhu, terjemahannya:

Sesungguhnya Uthman bin Affan r.anhu memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan mushaf yang sempurna. Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraisy: ‘Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan dengan sesuatu hal dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraisy; sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka.’ Lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirimkan ke seluruh pelosok dunia, kemudian Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain mushaf yang asal dibakar.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 4987).

Hadis ini membuktikan, harus membakar mushaf al-Quran atau bahan yang mengandungi ayat al-Quran dengan tujuan menjaga kesucian. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30 telah menetapkan beberapa cara untuk melupuskan al-Quran, iaitu:

  • Pertama: Dibakar ataupun ditanam.
  • Kedua: Dibuat secara berasingan; bebas daripada bahan-bahan lain.
  • Ketiga: Bahan yang telah dilupuskan tidak boleh digunakan semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.

Pada masa yang sama, perlu diberikan perhatian terhadap beberapa perkara jika pelupusan dilakukan secara pembakaran, antaranya termasuklah:

  • Pertama: Bahan yang mengandungi ayat al-Quran hendaklah dibakar secara menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Kedua: Bahan atau debu yang mengandungi ayat al-Quran yang telah dibakar hendaklah dikumpulkan supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
  • Ketiga: Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam di tempat yang bersih, atau tempat yang tidak dilalui orang, atau dibuang ke dalam laut, atau sungai yang airnya mengalir.
  • Keempat: Kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai jabatan agama atau pihak yang mahu melupuskannya.

Di negara kita, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah pihak berkuasa yang ditugaskan untuk menjalankan penguatkuasaan dan kawalan berkaitan dengan teks dan bahan al-Quran. KDN melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran berperanan sebagai panel semakan bagi memastikan ketepatan al-Quran sebelum dibenarkan untuk dicetak.

Umat Islam diingatkan mengenai beberapa perkara seperti yang berikut.

  • Pertama: Kewajipan memuliakan dan menyanjung tinggi al-Quran.
  • Kedua: Mengetahui adab penjagaan dan pelupusan al-Quran.
  • Ketiga: Bersahabat dengan al-Quran supaya menjadi teman hidup melalui amalan bacaan harian, dan lebih penting berupaya memahami dan menghayati kandungan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup.
  • Keempat: Memastikan al-Quran yang dimiliki mempunyai pengesahan daripada KDN sebagai bukti keabsahan naskhah tersebut melalui proses penapisan.
Naskhah al-Quran yang akan diterbitkan perlu melalui proses pengesahan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘Alamin! Jadikanlah al-Quran sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ingatkanlah kami daripadanya apa-apa yang telah kami lupakan, dan ajarkan kami daripadanya apa-apa yang kami jahil, serta rezekikanlah kami untuk membaca al-Quran pada waktu siang dan malam, dan jadikan al-Quran sebagai hujah kepada kami.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan faqir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wal al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 27 Januari 2023, bertajuk “Pemuliharaan Mushaf al-Quran – Suatu Kewajipan”)

Foto: Mohd Farid Janudin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.