20 Januari 2023, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’ 4:29).

Siber merujuk perkara berkaitan dengan komputer dan Internet. Internet ibarat pasar raksasa yang menemukan pembeli dengan penjual dalam ruang. Jenayah siber terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan, pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat dan penggodaman.

Sementara itu, penipu atau pengelat, dalam bahasa Inggeris disebut scammer, merupakan satu daripada perbuatan menipu yang dilakukan melalui Internet. Penipu berjaya memperdaya dan mendapatkan kepercayaan mangsa secara dalam talian.

Jenayah siber dan penipuan semakin kerap berlaku. Penjenayah siber semakin hari semakin lincah dengan pelbagai muslihat, tipu daya dan helah. Berdasarkan perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes penipuan siber yang dilaporkan di seluruh negara, dalam tempoh antara tahun 2017 hingga Jun 2022 ialah 89 798 kes, melibatkan kerugian sebanyak RM2.9 bilion. Dalam tempoh antara tahun 2019 hingga Julai 2022, sebanyak 33 147 suspek kes penipuan jenayah siber telah ditangkap; dan 22 196 kes berjaya dituduh di mahkamah.

Syariat Islam diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan, meliputi hukum-hakam berkaitan dengan harta, yang bertujuan menyelamatkan manusia daripada perolehan harta secara menipu dan salah. Rukun dan syarat pemilikan dan penyerahan harta, pada hakikatnya sangat membantu kita menentukan kaedah yang tepat untuk mengambil atau menyerahkan harta secara betul dan selamat.

Ayat ke-29 Surah al-Nisa’ memberikan maksud terdapat dua peringatan tentang harta; pertama, larangan mengambil harta dengan jalan yang salah; dan kedua, antara kaedah yang dibenarkan adalah melalui perniagaan yang padanya disyaratkan persetujuan pihak yang berakad. Persetujuan ini secara tidak langsung memberikan petunjuk, agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati sebelum bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

Penjenayah siber menggunakan pelbagai kaedah melalui kecanggihan teknologi untuk memperdaya mangsanya.

Pada masa kini, penjenayah semakin bijak menggunakan kecanggihan teknologi dengan membangunkan aplikasi yang menggunakan perisian tertentu yang bertujuan untuk mencuri maklumat peribadi dan data perbankan mangsa. Bayangkan, wang simpanan seseorang boleh lesap dalam sekelip mata disebabkan tindakannya melayan satu panggilan telefon atau mengklik satu pautan yang dihantar menerusi e-mel atau telefon. PDRM mengenal pasti modus operandi atau kaedah yang digunakan oleh penipu atau penjenayah siber seperti berikut.

Pertama: Penjenayah menyamar sebagai pegawai yang mewakili agensi penguatkuasaan, antaranya termasuklah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan memberitahu bahawa mangsa telah melakukan kesalahan tertentu dan sudah ada waran tangkap. Mangsa diminta membekalkan pelbagai maklumat peribadi atau melakukan bayaran tertentu untuk menutup kes.

Kedua: Penjenayah menyamar sebagai pegawai kastam, memaklumkan ada bungkusan atas nama mangsa. Bungkusan tersebut sedang ditahan oleh pihak kastam dan mangsa diminta membuat bayaran cukai untuk mendapatkan bungkusan tersebut.

Ketiga: Penjenayah menyamar sebagai pegawai bank yang meminta maklumat akaun bank, kad kredit serta nombor pin kerana mangsa dikatakan telah melakukan pembelian yang perlu diuruskan bayaran secara dalam talian.

Keempat: Penjenayah menyamar sebagai pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditugaskan untuk mengurus simpanan, pelaburan atau pengeluaran wang mangsa.

Kelima: Penjenayah memaklumkan mangsa telah membuat pembelian barang secara dalam talian. Mangsa diminta melakukan bayaran bagi barang yang dihantar, atau diminta untuk memeriksa e-mel dan mengklik pautan yang boleh mendedahkan maklumat peribadi.

Keenam: Mangsa dijanjikan pinjaman yang dikenakan kadar faedah rendah dan diminta melakukan bayaran pendaftaran dan pendahuluan sebelum diluluskan pinjaman.

Ketujuh: Mangsa dijanjikan melakukan pelaburan yang menjanjikan pulangan pelaburan yang besar. Setelah melakukan pelaburan, penjenayah menghilangkan diri.

Kelapan: Skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan menarik melalui skim piramid (multi-level marketing). Strategi kewangan yang digunakan adalah dengan menggalakkan pelabur sedia ada mendapatkan pelabur baharu. Pelabur hanya perlu melakukan pelaburan kecil dan mendapat pulangan yang tinggi. Apabila tiba masanya, penipu melarikan diri.

Kesembilan: Cinta palsu; penjenayah menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan laman cari jodoh. Mereka menggunakan kata-kata memikat, menjalinkan hubungan cinta siber dengan menggunakan identiti palsu, dan meminta pinjaman wang daripada mangsa untuk tujuan pelaburan, pembelian hadiah, harta, rumah serta hantaran perkahwinan, dan berjanji akan membayar semula setelah berkahwin.

Kesepuluh: Menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan dan mangsa diminta melakukan bayaran tertentu kepada agensi pekerjaan.

Kesebelas: Penjenayah membuat panggilan menerusi aplikasi WhatsApp yang menggunakan gambar rakan atau ahli keluarga mangsa; meminta bantuan atau pinjaman kerana kecemasan, darurat, kemalangan atau sakit.

Bagi menjayakan penipuan siber, sindiket akan menggunakan akaun keldai. Akaun keldai bermaksud pembukaan akaun individu yang dijanjikan bayaran komisen tertentu oleh sindiket. Akaun keldai ini diguna oleh sindiket untuk pemindahan wang dari akaun mangsa. Kaedah ini melindungi penipu sebenar daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa pemilik akaun keldai bertanggungjawab terhadap transaksi kewangan yang dilakukan secara penipuan oleh penjenayah. Oleh itu, elakkan diri daripada turut bersubahat dengan menjadi pemilik akaun keldai walaupun ditawarkan bayaran komisen yang lumayan.

Umat Islam dinasihati agar melindungi diri daripada menjadi mangsa atau terlibat dengan jenayah siber dan penipu dengan peringatan berikut.

Pertama: Semak dan rujuk dengan agensi yang berkenaan untuk memastikan kesahihan sesuatu panggilan telefon yang diterima. Jangan melayan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali, dan segera putuskan panggilan jika berasa curiga.

Kedua: Tidak mengklik sebarang pautan yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali atau memuat turun sebarang aplikasi yang meragukan.

Ketiga: Semak, bincang dan dapatkan nasihat ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum bersetuju menerima sesuatu tawaran atau melakukan sebarang transaksi kewangan, atau tawaran bayaran untuk membuka akaun keldai.

Keempat: Tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji yang terlalu menarik dan cinta palsu yang kebiasaannya merupakan jerat pertama untuk menipu.

Kelima: Segera hubungi talian 997 untuk melaporkan penipuan wang ke dalam akaun.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘Alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jauhi kami dan lindungi kami daripada dilanda dan dijangkiti penyakit yang berbahaya yang memudaratkan kehidupan ummah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 20 Januari 2023, bertajuk “Hati-Hati Tipu Daya Penjenayah Siber dan Scammer”)

 

Kredit foto: Tero Vesalainen from Getty Images/Canva.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.