13 Januari 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan penyakitku.”

(Surah al-Syu‘ara’ 42:80)

Dengan penentuan Ilahi, seluruh dunia dilanda serangan virus COVID-19 yang dikesan menjelma pada akhir tahun 2019 di Wuhan, China. Lebih 185 negara sesak nafas, dan berusaha mengekang jangkitan virus COVID-19. Manusia dikepung pandemik yang dahsyat dan diasak ke pertempuran rumit menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata. Pandemik COVID-19 tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang amat pahit dan memberikan kesan besar kepada dunia. Pandemik COVID-19, bukan sahaja menjejaskan prestasi ekonomi dunia, kehidupan insan, pengurusan kesihatan, dan bekalan makanan, malah meninggalkan trauma yang turut menjentik emosi ramai pihak.

Pelancong hilang destinasi, perantau hilang tuju, pengembara hilang sempadan, kapal merapat ke pelabuhan, pesawat terdampar di hangar, kereta api tersadai di stesen, bunga terasa kehilangan embun pagi, dilonggokkan layu, sayuran dipulangkan ke bumi, dan susu dicurahkan ke ladang; lebih menghibakan berjuta orang warga dunia kehilangan nyawa.

Kita turut mengalami peristiwa hitam yang mahu kita lupakan. Banyak pengalaman pahit yang kita alami. Masjid, surau dan rumah ibadat terpaksa ditutup, begitu juga pejabat, universiti, maktab, sekolah, termasuk gudang dan gedung perniagaan. Ramai yang menanggung derita, jatuh muflis, kehilangan kerja, terputus pendapatan, perniagaan ditutup, persekolahan anak-anak turut kelam kabut, kelas dalam talian menyebabkan ramai murid yang tercicir sementara guru menghadapi tekanan, dan tidak kurang pula yang kehilangan orang tersayang. Ada antara kita yang dijangkiti virus COVID-19, dan ada yang dijangkiti lebih daripada sekali.

Pandemik COVID-19 tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang amat pahit dan memberikan kesan besar kepada dunia.

Pandemik COVID-19 yang melanda hampir melumpuhkan sistem kesihatan di negara kita, kerana menghadapi kesulitan untuk mengurus kes jangkitan yang begitu banyak, berbanding dengan kemudahan, peralatan dan tenaga sedia ada yang terhad. Beban tanggungjawab yang dihadapi oleh para petugas perubatan dan kesihatan barisan hadapan, sampai ke peringkat menyebabkan sebahagian mereka mencecah tahap lesu upaya.

Alhamdulillah berkat kesabaran dan ketabahan, kita berjaya menghadapi ujian Ilahi. Dengan rahmat Ilahi, pandemik COVID-19 berjaya ditangani. Kita kini sedang melalui fasa pemulihan, bukan sahaja pemulihan ekonomi, tetapi pemulihan semangat dan pemulihan harapan kerana dapat melalui kehidupan seperti biasa. Ekonomi negara semakin terus dipulihkan. Diharapkan semoga disusuli kewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan yang baharu.

Sejak seminggu yang lalu, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan baharu terhadap perkembangan terkini wabak COVID-19, susulan kelonggaran sekatan perjalanan pelawat dari negara China. Heboh diperkatakan kekhuatiran yang boleh menjadi punca tercetusnya penyebaran baharu. Memahami kebimbangan rakyat, pihak berkuasa kerajaan sedang memantau secara rapi dan melaksanakan langkah-langkah kawalan untuk membendung penularan virus.

Kesihatan rakyat wajib diutamakan. Segala amalan kesihatan yang baik perlu dipatuhi; dan setiap nasihat kesihatan perlu diikuti bagi memastikan wabak dan penyebaran virus COVID-19 tidak kembali merebak. Di samping langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan, rakyat juga wajib berwaspada dan mengambil segala langkah demi memastikan peristiwa pahit yang kita alami semasa Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berulang. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit sepertimana kamu lari daripada singa.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, umat Islam diingatkan tentang perkara-perkara yang berikut:

Pertama: Pepatah Melayu menyebut, “Pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk”. Virus COVID-19 masih berlegar dalam kehidupan harian kita dan terus hinggap dari mangsa ke mangsa; malah dari masa ke masa menjelma varian baharu. Dalam bahasa mudahnya, virus COVID-19 senantiasa berusaha menukarkan bentuk atau sifatnya untuk terus melawan ikhtiar manusia yang mahu menghapuskannya. Oleh itu, manusia perlu peka dengan kewujudan virus COVID-19 yang masih menular, dan jangan terlalu cepat bersifat alpa atau lupa sehingga berperangai cuai dan lalai.

Kedua: Terus mematuhi prosedur operasi standard (atau SOP), iaitu peraturan yang dinasihati oleh Kementerian Kesihatan untuk melindungi diri daripada jangkitan, seperti mengelakkan diri terdedah di tempat-tempat perhimpunan yang ramai, berhimpit dan sempit; terutama dalam kalangan warga emas dan dalam kalangan yang menghidap penyakit kronik seperti pesakit jantung, darah tinggi, buah pinggang, lelah dan kencing manis, begitu juga kanak-kanak.

Ketiga: Mendapatkan nasihat pegawai perubatan untuk mengambil suntikan dos penggalak.

Keempat: Mengamalkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat yang ramai, sempit dan terhimpit serta ketika berada dalam pengangkutan awam.

Kelima: Tidak digalakkan bersalaman dengan terlalu banyak tangan; dan hendaklah membilas tangan dengan cecair pembersih tangan yang digunakan untuk mengurangkan agen jangkitan, ataupun segera membasuh tangan dengan sabun selepas bersalam-salaman.

Kita digalakkan membilas tangan dengan cecair pembersih tangan yang digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

Keenam: Menukar pakaian dan mandi sebaik sampai ke rumah sebelum menyentuh ahli keluarga, terutama anak kecil dan bayi.

Ketujuh: Ahli-ahli Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah melakukan langkah-langkah pencegahan dengan memastikan senantiasa berlakunya kitaran udara bersih dalam ruang solat dengan membuka tingkap dan pintu untuk seketika, terutama selepas solat Jumaat; memastikan aliran air yang bersih untuk berwuduk, serta senantiasa mengamalkan langkah-langkah kebersihan lain. Ahli-ahli kariah pula hendaklah diberikan peringatan dan nasihat secara berkala.

Sama-samalah kita menghayati sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

Maksudnya: “Seorang Mukmin tidak dipatuk dua kali pada lubang yang sama.

(Hadis riwayat a-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberikan peringatan agar kita terus berhati-hati bagi memastikan kita dilindungi dan dijauhi Ilahi daripada terpaksa sekali lagi melalui hidup yang terkurung dan tersekat kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jauhi kami dan lindungi kami daripada dilanda dan dijangkiti penyakit yang berbahaya yang memudaratkan kehidupan ummah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 13 Januari 2023 bertajuk “Mengutamakan Kesihatan Rakyat”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.