6 Januari 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) merupakan badan pengeluar fatwa peringkat kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja sejak tahun 1968. Sepanjang 54 tahun penubuhannya, Perdana Menteri merupakan pengerusi bagi organisasi tersebut. Namun begitu, pada tahun 2022 pengerusi MKI telah dipilih dalam kalangan raja-raja pemerintah.

“Jawatankuasa muzakarah MKI ini terdiri daripada pengerusi dan mufti di seluruh negara serta enam ahli yang dilantik untuk mengeluarkan fatwa. Manakala bidang kuasa fatwa negeri ditampuk oleh kuasa sultan negeri masing-masing.”

YBhg. Sahibus Samahah Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot (kiri) dan YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Haji Wan Zahidi Wan Teh (kanan) selaku ahli panel dalam program Liqa’ Fikri bersama-sama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak yang dikendalikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Afifi al-Akiti.

Demikian penjelasan moderator program Liqa’ Fikri bersama-sama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak, Felo Pusat Pengajian Islam Oxford merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Afifi al-Akiti pada petang ini. Program ini merupakan suatu program pertemuan intelektual yang dianjurkan bertempat di  USAS yang membawakan dua orang panel, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, dan Mufti Negeri Perak, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Haji Wan Zahidi Wan Teh.

YBhg. Sahibus Samahah Dato’ (Dr.) Haji Nooh memulakan sesi dengan menyatakan bahawa terdapat beberapa kuasa yang membincangkan isu hal ehwal Islam, iaitu kebangsaan, negeri, perlembagaan dan undang-undang negeri. Peringkat kebangsaan, iaitu Muzakarah MKI akan membincangkan satu-persatu isu supaya tidak wujud masalah yang melibatkan agama. Proses pada peringkat kebangsaan dan setiap keraguan yang timbul akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Tambah beliau lagi, masalah tempatan dan dalaman akan dibincangkan pada peringkat negeri. Peringkat negeri mempunyai kuasa  untuk mengeluarkan fatwa dan pengerusinya merupakan sahibus samahah para mufti sendiri dan juga individu yang mempunyai pelbagai kepakaran khususnya dalam bidang akidah, syariah akhlak, tarikat, dan sains.

“Apabila kamu dapati perbezaan dalam pemahaman agama senang berlaku, selepas itu hendaklah kamu berpegang dengan kumpulan terbesar daripada umatnya.” Demikian menurut Dato’ Haji Wan Zahidi yang memberikan penerangan tentang Ahli Sunah Wal Jamaah, iaitu yang berpegang dengan empat mazhab yang muktabar dan juga berpegang dengan sufi.

Rabbaniyah, alami, syumul, akliah, wasatiyyah, tasamuh dan muafakat merupakan perkara yang perlu dipertahankan oleh Ahli Sunah Wal Jamaah yang diterangkan oleh Dato’ (Dr.) Haji Nooh. Menurutnya lagi, salah satu maqasid dalam kehidupan beragama ialah masyarakat atau disebut sebagai al-Jamaah dan maqasidnya supaya ummah tersebut bersatu dan dalam konteks masyarakat kita kiblat, al-Quran, hadis, dan solat yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.