1 Januari 2023, 20:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri dan mengetuai sendiri Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli sebanyak 83 kali sepanjang tahun 2022 yang lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Jumlah keseluruhan sebanyak RM1875 300 disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui baginda sama ada secara terus di rumah-rumah yang disinggahi sepanjang kayuhan, atau diwakilkan kepada amil setiap kariah untuk diserahkan kepada asnaf terpilih di kawasan masing-masing pada awal setiap program sebelum sesi bermula.

Sebanyak 81 kali kayuhan diadakan di segenap pelosok negeri Perlis bernilai RM1871 100 disalurkan kepada 2673 orang penerima. Setiap seorang menerima sebanyak RM700. Dua kali kayuhan lagi dilaksanakan di Phuket, Thailand sempena Program Ziarah Mahabbah MAIPs dan di Slim River, Perak bersama-sama pihak FGV sebanyak RM4200 untuk seramai enam orang penerima.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor selepas mengiringi Tuanku Raja Muda Perlis ke program penutup tirai kalendar kayuhan MAIPs Peduli, iaitu yang ke-83 bagi tahun 2022 baru-baru ini.

Baginda turut berkenan singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs berupa sebuah kedai makan ‘Warung Celah Pokok’ di Kampung Titi Berapa Simpang Empat yang diusahakan oleh Mohd Darishadizam Mohd Radzi. MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) telah menyumbangkan sebanyak RM4666 kepada beliau sebelum ini untuk membeli peralatan berniaga seperti mesin ais kacang, dapur tiga tungku, dapur goreng ayam dan dapur masak air.

Pada akhir program, Tuanku Raja Muda menitahkan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs tidak kira di mana sahaja mereka berada. Baginda juga menghargai masa dan bantuan semua warga kerja MAIPs serta ketua-ketua jabatan, agensi, organisasi dan juga individu yang menjayakan program amal ini bukan sahaja pada tahun lalu, malah sejak mula diadakan beberapa tahun yang lalu.

Sesi kayuhan pertama pembuka tirai bagi tahun 2023 akan diadakan pada 5 Januari ini di sekitar bandar Kangar bersama-sama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.