30 Disember 2022, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Mengangkat tema Memperkukuh Institusi Kewangan Sosial untuk Kelestarian Pembangunan Ekonomi Ummah, International Conference on Zakat, Tax, Waqf and Economic Development (ZAWED 2022) ke-2 telah berlangsung kelmarin.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya berkata, kewangan sosial dijangka memainkan peranan lebih besar dalam landskap kewangan Malaysia; dengan kewangan Islam mendahului, melengkapkan kewangan sektor awam dan penyelesaian kewangan yang didorong secara komersial.

Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda (3 dari kanan) ketika merasmikan ZAWED 2022.

“Apabila kewangan sosial mendapat daya tarikan, penyelarasan dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk mengurangkan kos pencarian dan pengedaran, serta menggalakkan keyakinan orang ramai yang lebih besar dalam pengeluaran dan tadbir urus dana.

“Usaha ini termasuklah membangunkan infrastruktur yang dikongsi atau menggunakan yang sedia ada dengan lebih baik, seperti menjadikannya saling beroperasi untuk mengurangkan halangan kepada penawaran kewangan sosial,” ucapnya ketika merasmikan ZAWED 2022 anjuran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama Pejabat Perdana Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Russayani Ismail berkata, sistem zakat, pengurusan wakaf, sistem cukai dan proses yang berkaitan perlu dikaji semula demi memastikan semua instrumen inibenar-benar dapat memberikan manfaat terhadap pembangunan ekonomi ummah.

Justeru, seminar ini membincangkan pendekatan dan kaedah untuk menyumbang kepada penerokaan dan amalan ilmu global yang dapat memberikan manfaat kepada perniagaan dan ummah selain isu semasa berkaitan pengukuhan institusi kewangan sosial untuk kelestarian pembangunan ekonomi ummah.

“UUM berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak yang berminat bukan sahaja untuk menganjurkan persidangan seperti ini, tetapi juga dalam menjalankan penyelidikan yang dipanggil geran sepadan. Daripada penyelidikan tersebut, kami berharap lebih banyak penerbitan dapat diterbitkan dan dikongsi seterusnya memberikan manfaat kepada ummah,” katanya.

Jelasnya, UUM memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang  memerlukan selain mengajak semua pihak bekerjasama dengan lebih serius untuk
mengukuhkan kapasiti dan keupayaan demi meningkatkan semua institusi kewangan sosial dan menyokong pembangunan negara.

Profesor Madya Dr. Selamah Maamor selaku Pengarah ZAWED 2022.

Pengarah ZAWED 2022, Profesor Madya Dr. Selamah Maamor bersyukur ZAWED 2022 dapat direalisasikan di Miri yang menyaksikan seramai 140 peserta dengan lebih 60 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan tersebut  melibatkan lima sesi selari di empat buah bilik perbincangan.

“Rata-rata peserta teruja mendengar perkongsian hasil penyelidikan para penyelidik dari serata dunia termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Nigeria dan Tanzania. Ramai penyelidik UUM yang menerima geran penyelidikan IPIZ-LZNK mengambil peluang membentangkan laporan akhir penyelidikan mereka manakala hasil penyelidikan mereka terus dikongsikan bersama peserta ZAWED 2022,” katanya yang juga Pengarah IPIZ.

Antara peserta antarabangsa yang terlibat dengan pembentangan kertas dalam ZAWED 2022.

Dalam ZAWED 2022 ini juga Anugerah Kertas Kerja Terbaik dan Anugerah Pembentang Terbaik turut disediakan sebagai tanda penghargaan kepada para penulis dan pembentang yang memenuhi kriteria penganjur.

Beliau menyifatkan bahawa kejayaan penganjuran ZAWED 2022 ini merupakan suatu
kejayaan besar bagi IPIZ dan berharap pelancaran IPIZ 2.0 dalam ZAWED 2022
terus menjadikan IPIZ lebih gigih berusaha ke arah menjadi Pusat Penyelidikan Zakat terkemuka di persada dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.