26 Disember 2022, 23:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Insan yang paling bijak sekalipun tidak berupaya untuk mengetahui sama ada ibadat, qiamullalil, selawat, zikir, serta amalan kebajikan dan kebaikan yang dilakukan akan diterima dan diganjari pahala oleh Allah SWT ataupun tidak. Jika amalan peribadi pun tidak pasti, mana mungkin mereka boleh mengetahui dan membuat perhitungan terhadap amalan yang dilakukan oleh insan yang lain.

Alangkah baik sekiranya dalam hidup ini kita tidak cepat membuat hukuman dan perhitungan terhadap amalan ibadat dan kebajikan orang lain sama ada diterima ataupun tidak. Elakkan mengkritik sehingga menimbulkan permusuhan dan perbalahan hanya disebabkan berbeza pendirian dalam hal berkaitan dengan amalan agama yang mempunyai pelbagai dalil dan pandangan. Sebaliknya, suburkanlah percambahan pengetahuan dan perbincangan dalam hal ehwal beragama. Kita haruslah sama-sama berpaut pada dahan yang kukuh, iaitu sumber al-Quran dan hadis yang disepakati. Selain itu juga, tekunilah jalan yang telah ditunjukkan oleh generasi sahabat r.anhum, para tabiin dan ulama muktabar.

Ikhtiar kita pelbagai

Setiap orang mempunyai pelbagai usaha dan pilihan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91:9-10).

Hal ini bermula dengan keinginan yang kuat dalam diri dan niat yang ikhlas. Keinginan untuk berubah menjadi motivasi untuk meneruskan proses penyucian jiwa, manakala hati yang ikhlas berperanan menapis kekotoran dan campur-aduk yang terlintas dalam hati dan fikiran dengan tujuan yang lain.

Amalan berzikir merupakan satu daripada langkah penyucian jiwa.

Apabila membaca tulisan berkaitan dengan usaha penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs), kita akan temui ada banyak jalan taqarub telah disenaraikan oleh para alim ulama. Contohnya, Said Hawwa dalam tulisannya, al-Mustakhlas fi Tazkiyah al-Anfus telah  menyenaraikan langkah atau wasilah penyucian jiwa, antaranya termasuklah melalui ibadat solat, mengeluarkan zakat dan sedekah, berpuasa, menunaikan haji, membaca al-Quran, berzikir, bertafakur dan mengingati kematian.

Jalan mana satukah yang mudah?

Setiap orang yang ingin menempuh jalan penyucian jiwa hendaklah memilih jalan yang paling mudah dilaksanakan. Terdapat pelbagai jalan dan panduan jalan taqarub dengan Allah SWT seperti yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Contohnya, bagi mereka yang cenderung untuk menunaikan ibadat puasa, maka mereka boleh berpuasa dengan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, puasa hari putih, atau berpuasa selang sehari seperti puasa Nabi Dawud a.s.

Antara hikmah berpuasa termasuklah menjadikan tubuh fizikal lebih ringan untuk melakukan ibadat yang lain. Contohnya sepanjang bulan Ramadan, badan umat Islam yang berpuasa menjadi ringan dan dapat mengerjakan ibadat solat melebihi kebiasaan pada bulan-bulan yang lain. Bagi mereka yang suka membaca al-Quran, maka boleh dimulai dengan mempelajari selok-belok sebutan huruf, hukum bacaan al-Quran, serta alunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan lebih kerap. Semasa mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, hadirkan hati dan fikiran untuk menyelami pengajaran ayat yang dibacakan. Antara amalan para salaf al-salih membaca al-Quran termasuklah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap bacaan. Sekiranya mereka mendapati hati tidak fokus atau terleka semasa membaca al-Quran, maka mereka akan mengulangi semula bacaan tersebut. Inilah contoh teladan berinteraksi dengan al-Quran.

Bagi mereka yang suka berdoa, berzikir mengingati Allah SWT, atau berselawat ke atas  Nabi Muhammad SAW, maka laksanakan amalan tersebut dengan lebih kerap di mana-mana tempat yang bersesuaian. Isilah ruang kehidupan seharian dengan pelbagai ucapan zikir seperti bacaan subhanallah (tasbih) alhamdulillah (tahmid), dan ikrar berulang lailahaillallah (tahlil). Contohnya, semasa kita sedang menunggu lampu isyarat merah bertukar hijau atau menanti pemandu Grab tiba untuk ke sesuatu destinasi, maka isilah ruang menunggu tersebut dengan membasahi lidah dan hati dengan bacaan zikir yang ma’thur sebagai ingatan kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan kamu sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. Serta bertasbihlah kepada-Nya pada malam hari dan sesudah mengerjakan solat.” (Surah Qaf 50:39-40).

Begitulah juga bagi mereka yang memilih untuk taqarub kepada Allah dengan melaksanakan ibadat solat. Antara jalannya termasuklah menunaikan solat fardu dan sunat dengan sebaik-baiknya. Solat merupakan tiang seri kehidupan seorang Mukmin dan menjadi indikator keimanan terpenting secara harian. Solat hendaklah dikerjakan pada awal waktu atau tatkala masuk waktu solat.

Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah menegaskan tentang kepentingan meletakkan keutamaan atau disebut sebagai fiqh aulawiyat. Antara indikator seseorang yang mengerti tentang keutamaan ibadat solat adalah melalui keutamaannya mengerjakan ibadat serta kesungguhannya untuk mencapai tahap terbaik dalam menyempurnakan solat fardu. Kita juga boleh menambah amalan dengan mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu dan secara khususnya mendirikan solat sunat witir, iaitu solat sunat yang amat digalakkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW

Bagi mereka yang berasa semakin dekat kepada Allah SWT melalui jalan tafakkur, maka mereka boleh melakukan kajian dan pemerhatian terhadap ayat-ayat kauniyat (alam dan kehidupan). Oleh itu, sekiranya Allah SWT melapangkan hidup kita dengan rezeki, kesempatan masa serta berkemampuan fizikal untuk kita bermusafir dan melancong, maka usahakanlah agar sesi kunjungan dan lawatan ke pusat peranginan atau tempat tersebut untuk melihat tanda kebesaran Ilahi.

Umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian.

Pendek kata, ada banyak lagi jalan menuju taqarub kepada Allah SWT kerana cabang iman seperti yang dinyatakan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dalam hadis bahawa indikator keimanan seseorang itu ada lebih 70 cabang. Maka itu, usaha untuk menyuburkan pohon iman dalam diri setiap insan itu ada pelbagai ikhtiar. Penting dijelaskan bahawa untuk membuat pilihan amalan ibadat dalam proses penyucian jiwa itu, kita hendaklah merujuk sumber Islam, iaitu dalil al-Quran dan hadis. Selain itu juga, pandangan dan cara hidup ulama yang muktabar juga hendaklah dijadikan panduan.

Jalan muraqabah kepada-Nya tidak akan menjadikan manusia semakin tinggi diri. Akan tetapi, hal tersebut membenihkan rasa tunduk dan membaja jiwa yang insaf. Jalan muraqabah juga akan menjadikan seseorang itu merasai bahawa dirinya hanyalah makhluk Allah SWT yang penuh mengharap agar setiap amalan yang telah dilaksanakan itu akan diterima serta diganjari pahala oleh-Nya. Semoga Allah SWT menerima amalan ibadat dan kebajikan kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.