3 Disember 2022, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pentas Akhir Akademi Dai Muda Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kelmarin.

Saudara Aiman Khair Abdul Rahman yang menggunakan gelaran Dai Muda YADIM (DMY) Aiman telah mempamerkan persembahan yang cukup santai dan bersahaja namun penuh dengan pengisian sehingga berjaya menarik perhatian masyarakat dan para juri yang membolehkannya dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana DMY selain turut memenangi Anugerah Dai Muda Murabbi di pentas Akademi Dai Muda YADIM (ADMY).

Beliau membawa pulang wang tunai RM15 000 tajaan YADIM, pakej umrah tajaan Agami Group Sdn. Bhd.,  bar emas tajaan Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Rehal Diraja Emas, tajaan D’Rehal Official, produk kesihatan tajaan Halagel (M) Sdn. Bhd., piala iringan serta sijil penghargaan selain menerima tajaan untuk menjadi rakan niaga premium ANGKASA.

Sementara itu, tiga lagi finalis ialah YDM Husna, memenangi Anugerah Tekno Dai, DMY Fatimah pula menerima Anugerah Karyawan Dai Muda dan DMY Hafiz Din memenangi Anugerah Aktivis Dai Muda. DMY Afeyfah  dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Muslimah Muda dan DMY Fikri Nazim membawa pulang Anugerah Imam Muda.

DMY merupakan satu daripada inisiatif badan dakwah YADIM dengan kerjasama TVAlHijrah bagi melahirkan pelapis pendakwah di negara kita. ADMY kali ini merupakan siri keempat setelah siri sulungnya diadakan pada tahun 2019. ADMY siri ini telah bermula sejak empat bulan lalu dan setiap peserta yang terpilih telah menjalani ujian kemasukan di Institut Latihan Dakwah YADIM, Hulu Langat.

Tetamu kenamaan bergambar kenangan bersama-sama juri dalam Pentas Akhir Akademi Dai Muda YADIM.

Hadir sama dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris dan Presiden ANGKASA, Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Haji Abdullah.

Pentas ADMY ini juga boleh ditonton secara dalam talian oleh melalui Facebook TV AlHijrah, https://www.facebook.com/tvalhijrah/videos/1575946912856285.

Sumber gambar: Facebook TVAlHijrah, YADIM

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.