2 Disember 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya:  Dan  mereka  yang  menjaga  kehormatan  (kemaluannya).  Kecuali  kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Mu’minun 23:5 -7)

Hari AIDS sedunia ditetapkan pada 1 Disember setiap tahun yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang jangkitan human immunodefiency virus (HIV) yang membawa kepada penyakit sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS). HIV ialah jangkitan virus melalui cecair atau darah yang mampu memusnahkan daya ketahanan badan seseorang berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya termasuklah perkongsian suntikan jarum, seks rambang, iaitu bertukar-tukar pasangan, seks songsang atau hubungan sejenis, serta beberapa sebab lain. Sejak lima hingga enam tahun kebelakangan ini, peningkatan kes HIV lebih tertumpu kepada hubungan seksual terutamanya hubungan sejenis lelaki dengan lelaki.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, faktor terbesar yang menyumbang kepada statistik jangkitan HIV di Malaysia pada tahun 1990 hingga 2010 adalah disebabkan oleh penggunaan dadah secara suntikan. Namun kini, faktor tersebut bukan lagi merupakan penyumbang terbesar, sebaliknya berpunca daripada hubungan seksual. Data merekodkan sehingga tahun 2018, daripada keseluruhan jumlah jangkitan HIV, sebanyak 94 peratus berpunca daripada hubungan seksual dan daripada peratusan tersebut, 57 peratus berpunca daripada hubungan sejenis antara lelaki atau dikenali sebagai gay, manakala 37 peratus disebabkan oleh hubungan seksual berlainan jantina.

Islam melarang umatnya terjebak dengan perbuatan melakukan hubungan intim dengan golongan sejenis.

Ayat 5 hingga 7 dalam Surah al-Mu’minun jelas menunjukkan bahawa Islam melarang umatnya melakukan hubungan intim selain pasangan yang dibenarkan oleh syarak. Terkandung hikmah besar dalam ketetapan syariat ini kerana tujuan syariat (Maqasid Syariah) adalah menjamin nasab keturunan. Oleh itu, hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita, atau dengan pasangan berlainan jantina yang tidak halal, atau ada antara mereka yang berhubungan dengan kedua-dua jantina, atau pun apa-apa cara untuk melepaskan nafsu selain jalan yang dibenarkan oleh syarak; hukumnya haram dan dianggap sebagai dosa zina. Islam melarang umatnya berzina seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Surah al-Isra’ 17:32)

Dalam sejarah tamadun manusia, hubungan sejenis pernah diamalkan oleh umat Nabi Lut a.s. Allah SWT menyifatkan perlakuan tersebut sebagai khabais, iaitu jijik, keji, kotor dan hina kerana perbuatan tersebut merupakan tabiat yang merosakkan. Nabi Lut a.s. berulang kali mengingatkan kaumnya bahawa perlakuan ini mengundang kemurkaan Allah SWT, namun kaumnya tidak peduli dan terus-menerus melakukannya. Akibatnya, Allah SWT menghukum mereka dengan azab yang dahsyat. Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 82 yang bermaksud, “(Peringatan Lut tidak diendahkan) maka apabila datang (ketetapan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar menimpanya bertalu-talu”.

Mereka yang dijangkiti HIV berisiko mendapat penyakit AIDS yang boleh menyebabkan beberapa kesan seperti demam yang berpanjangan, cirit-birit yang berpanjangan, penurunan berat badan yang mendadak, bengkak kelenjar, batuk kering yang berpanjangan, menjangkiti orang lain dan paling bahaya boleh membawa kepada kematian. Sehingga kini, masih tiada rawatan yang boleh menghapuskan virus ini, namun HIV boleh dikawal melalui rawatan awal sebelum penyakit tersebut berubah menjadi AIDS. Pesakit perlu mendapatkan rawatan di klinik atau di hospital berdekatan dengan segera, mendisiplinkan diri serta mematuhi segala arahan dan kaedah rawatan yang diberikan oleh pakar perubatan. Pesakit  akan  didedahkan dengan rawatan virus berkait AIDS (ARV) selepas  melakukan ujian saringan dan berpeluang mendapatkan khidmat kaunselor bagi terapi psikologi.

Ketahuilah bahawa segala suruhan dan larangan Allah SWT itu bertujuan untuk membawa kebaikan kepada manusia. Di sebalik perkara yang ditegah dan perbuatan yang dianjurkan oleh syarak, semuanya terkandung hikmah yang membawa kesejahteraan kehidupan dan kebaikan terhadap fizikal dan jiwa orang-orang beriman. Oleh itu, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Perbuatan hubungan seksual yang dilarang oleh Islam ialah haram dan wajib dijauhi. Pelakunya berdosa besar dan perlu segera bertaubat memohon keampunan Allah SWT. Bagi yang belum bernikah, usahakan mencari pasangan yang halal dan bagi yang sudah bernikah, mereka hendaklah tidak melakukan hubungan yang menjerumuskan diri ke arah melakukan dosa zina yang bakal mengundang kesan kesihatan kepada diri malah merebak kepada ahli keluarga.

Umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Kedua: Hubungan seksual bebas, hubungan sejenis dan sebagainya berisiko dijangkiti HIV yang boleh memudaratkan kesihatan diri dan orang lain.

Ketiga: Bagi mereka yang dijangkiti HIV, janganlah berasa kecewa dan putus asa. Selagi hayat dikandung badan, selagi mentari terbit menyinar dari ufuk timur, di sana ruang taubat terbuka seluas-luasnya, memberikan peluang untuk suatu perubahan. Jalanilah kehidupan yang sihat, lakukan rawatan susulan dengan disiplin dan seterusnya perbanyakkan doa, solat dan taubat kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penerima taubat.

Keempat: Ibu bapa harus memantau perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka. Kenali dengan siapa mereka bergaul, berikan panduan kehidupan kepada mereka dan peringatan agar menjauhi perbuatan zina.

Kelima: Jika terdapat dalam kalangan ahli keluarga, sanak saudara atau sahabat yang dijangkiti HIV, jangan sisihkan mereka atau bersifat menghukum; sentiasalah memberikan dorongan dan sokongan kepada mereka agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Keenam: Bagi yang memiliki kecenderungan terhadap jantina yang sama, segeralah merawatnya dengan bertemu pakar kesihatan melalui terapi kognitif dan kaedah lain yang dapat membendung kecenderungan ini.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb alُُ-’alamin!, bimbinglah kami dalam mentaati segala suruhan-Mu dan menjauhi segala larangan-Mu agar kami mencapai keredaan-Mu. Peliharalah iman kami agar tidak melakukan perbuatan yang menjurus ke arah kemurkaan-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka;  jauhi  golongan  fakir  dan  miskin daripada  kekufuran  dan  kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalaali wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalikal Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 2 Disember 2022 bertajuk “Hubungan Seksual: Penyumbang Utama Jangkitan HIV dan Penyakit AIDS”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.