29 November 2022, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam- Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui misinya untuk melahirkan ummah yang berinteraksi dengan al-Quran secara total melalui baca, faham dan amal, sedaya upaya menyediakan pelbagai program yang memberikan solusi melalui al-Quran (Kalamullah) yang jelas. Tidak perlu mencari kaedah atau formula Barat melainkan mendalami al- Quran dengan baca, faham dan amal.

Satu daripada program anjuran WUIF  ialah Taklimat pagi @ Morning Briefing Edisi Khas: Minda Pejuang yang ditayangkan secara langsung di Facebook Langsung Quran Hour setiap hujung bulan, pada setiap hari Selasa.

Program Taklimat Pagi Edisi Khas: Minda Pejuang pada bulan ini membawakan pengisian menarik yang menggariskan nilai al-Quran dalam pengurusan keselamatan pekerjaan berpandukan Surah Al-Ra’d ayat 9 hingga 11 yang dikupas oleh al-Fadhil Ustaz Safri Muhammad Zein bersama-sama panel jemputan yang merupakan Pengurus Kanan, Jabatan Strategi dan Transformasi, Tenaga Nasional Berhad, Ts. Mohd Yusree Mohd Yusoff.

Antara tetamu yang hadir dalam Majlis Pelancaran Nilai al-Quran dalam Pengurusan Keselamatan Pekerjaan kepada Pengurusan Tertinggi TNB.

Ustaz Safri Muhammad Zein menjelaskan bahawa setiap manusia terutamanya yang bergelar “pekerja” mestilah melaksanakan tugas seperti yang  diamanahkan kerana Allah SWT Maha Mengetahui seperti yang telah dinyatakan dalam Surah Al-Ra’d ayat 9.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak; Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi.”

Sesungguhnya, nilai al-Quran, seharusnya diangkat tinggi dan dipasakkan dalam hati setiap manusia seluruh dunia. Inisiatif yang diambil oleh segelintir pihak korporat atau syarikat swasta dengan meletakkan nilai al-Quran dalam organisasinya dilihat lain dari biasa bagai kerbau terkejut oleh gong.

Menurut Ts. Mohd Yusree Mohd Yusoff,  walaupun organisasi kerajaan dan swasta terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, sebenarnya bukanlah perkara asing untuk seluruh organisasi kerajaan dan swasta mengaplikasikan nilai al-Quran dalam pengurusan keselamatan pekerja kerana prinsip Maqasid Syariah yang menggariskan tanggungjawab manusia untuk menjaga nyawa yang disebut sebagai hifz al-nafs sama dengan hak asasi manusia kini, iaitu memelihara nyawa masing-masing.

Oleh itu, sebagai majikan yang bertanggungjawab, pihak syarikat perlu mengeluarkan satu manual atau etika keselamatan syarikat supaya nyawa dan keselamatan pekerja sentiasa terjamin,” jelas beliau dalam sesi soal jawab bagi program tersebut.

Setiap individu yang berakal mesti menunaikan tugas atau tanggungjawab yang diserahkan kepadanya dengan berhemah, iaitu dengan mengutamakan ciri keselamatan.

Islam menekankan bahawa setiap individu bertanggungjawab atas apa-apa yang telah dilakukannya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddaththir ayat 38 yang bermaksud: “Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa-apa yang telah dilakukannya.” Oleh itu, seseorang pekerja mestilah melaksanakan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

“Sekiranya pekerja berjaya menyelesaikan tugasnya, maka beliau telah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Sebaliknya, jika pekerja itu gagal menunaikan tugasnya, maka beliau perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan tersebut. Pekerja tersebut akan menanggung akibatnya“, tegas beliau lagi pada akhir program.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.