13 November 2022, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tahun ini genap 10 tahun penubuhan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), iaitu sebuah organisasi yang dibina atas dasar ingin membantu menegakkan dan komited dalam memperjuang hak pengguna di Malaysia.

Berpegang pada moto “Jadikan persahabatan ini umpama untaian tasbih, yang ada awal dan tiada penghujung. Dicantum demi cinta-Nya dan diratib demi reda-Nya”, PPSM membantu para pengguna di Malaysia mengatasi pelbagai permasalahan seperti penindasan, kezaliman, penipuan, mungkir janji dan kepenggunaan.

Bersempena dengan penubuhan selama sedekad tersebut, PPSM buat pertama kalinya akan mengadakan majlis eksklusif, iaitu Makan Malam Semboyan Malaysia yang juga boleh dianggap sebagai pembuka tirai kegiatannya bagi tahun 2023.

Menurut pengasas PPSM, Yusuf Azmi dalam sidang media di sebuah restoran terkemuka di ibu kota pada 10 November 2022 lalu, Makan Malam Semboyan Malaysia itu akan diadakan di Tapak Pameran Pertanian Malaysia @ MAEPS, Serdang pada 14 Januari 2023.

Antara yang hadir semasa sesi sidang media pengumuman tarikh dan lokasi Makan Malam Semboyan Malaysia.

“Majlis makan malam tersebut bertujuan untuk menghargai, serta meraikan para sahabat Semboyan, dan penyokong setia Semboyan Malaysia, selain ingin berterima kasih atas sokongan setia sahabat Semboyan selama kami meneruskan perjuangan,” jelasnya.

Beliau menganggap sahabat dan penyokong setia Semboyan juga sebagai tunjang utama dalam gerakan pihaknya, sekali gus menjadi asbab perjuangan diteruskan hingga hari ini.
Mengulas lanjut tentang Makan Malam Semboyan Malaysia itu, Yusuf memberitahu bahawa beliau juga mahu menerapkan semangat Islam dengan kegiatan solat fardu berjemaah bagi semua yang hadir dari waktu zuhur hingga isyak.

“Walaupun acara sebenar pada waktu malam, tetapi perhimpunan dan kegiatan bermula pada waktu siang. Untuk menguatkan semangat perpaduan sesama Islam, saya merancang sesi solat fardu berjemaah kerana kegiatan tersebut adalah pendorong dan gambaran kesatuan PPSM,” tegas Yusuf.

Hal ini selaras dengan tujuan lain penganjuran Makan Malam Semboyan Malaysia, iaitu sebagai wadah untuk berkumpul, sekali gus menjadi perlambangan kepada hasil ikatan dan penyatuan semangat, kerjasama, serta permuafakatan dalam gerak perjuangan di bawah Semboyan Malaysia atas nilai kasih sayang.

Tentafif program yang akan diadakan pada Majlis Makan Malam Semboyan Malaysia 2023.

Majlis Makan Malam Semboyan Malaysia terbahagi kepada tiga segmen, dan satu daripadanya ialah maulid akhbar. Menurut Yusuf, maulid akhbar dengan slot khas “Perkongsian Mutiara Nasihat” akan dijayakan oleh para agamawan seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin, Tuan Guru Syeikh Abu Zaki, Tuan Guru Syeikh Zainul Asri, Ustaz Wadi Anuar, kumpulan Qasidah Qomaru dan Maulana Helmi.

Dua segmen lagi ialah konsert khas dan bersama-sama para tetamu yang diadakan semasa dan sebelum majlis makan malam tersebut berakhir. Sebagai daya penarik,  konsert khas bakal menampilkan dua buah kumpulan penyanyi legenda tanah air, iaitu Wings dan Search.

“Sesuai dengan perjuangan dan konsep Semboyan dan kehadiran para agamawan, sudah tentulah Wings dan Search akan menampilkan lagu-lagu ketuhanan dan kemanusiaan. Begitu juga dengan para penyanyi, dan selebriti lain,” kata Yusuf yang menegaskan sudah lama penganjuran majlis ini dinanti-nantikan.

Penyanyi terkenal lain yang akan turut menjayakan konsert khas berkenaan termasuklah Ijam Medicine, Iwan Syahman, Zul Handy Black, Hazama, Black, Tomok, dan Azlan (Typewriter).

Tempahan tiket atau kerusi untuk majlis Makan Malam Semboyan Malaysia telah mula dijual. Jelas Yusuf, pembelian atas talian boleh dibuat menerusi laman sesawang yang berikut:

https://id.shabatsemboyan.com/ecommerce dan https://www.ticket2u.com.my/event/28999/.

Selain itu, pembelian boleh dibuat dengan menghubungi Semboyan Malaysia menerusi talian 019-3363605/019-6669010, sementara untuk pembelian secara fizikal, boleh hadir ke pejabat Semboyan Malaysia di Suite C-3-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

(Sumber gambar: Facebook rasmi Semboyan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.