Oleh Fansurina Ramli
28 Oktober 2022, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Slot Perkongsian Ilmu tahun 2022 kembali lagi bagi sesi ketiga pada pagi ini dengan tajuk “Ibadah dalam Kerjaya”. Siri pertama ini menampilkan Timbalan Pengerusi Yayasan Fikir Ummah Malaysia, Ustaz Yazid Haji Maarof sebagai penceramah jemputan.

Dalam perkongsiannya, beliau berkata bahawa rata-rata masyarakat pada hari ini sering kali mengehadkan definisi ibadat kepada ibadat khusus, iaitu terbatas pada rukun Islam sahaja. Namun begitu, beliau berpendapat bahawa terdapat juga ibadat umum yang perlu dilaksanakan.

Islam merupakan agama yang syumul. Agama Islam bukan sahaja menitikberatkan keperluan akhirat tetapi juga keperluan duniawi. Ibadat umum merangkumi ibadat yang dilakukan dalam kehidupan seharian termasuklah dalam alam pekerjaan.

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu. Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu kembali setelah dibangkitkan.”

(Surah al-Mulk 67:15)

Walau bagaimanapun, menurut beliau, sesuatu pekerjaan hanya akan menjadi sebuah ibadat sekiranya mempunyai kriteria yang berikut:

  • Niat yang betul, iaitu berniat kerana Allah SWT, ingin mencari rezeki dan ingin melaksanakan amanah yang diberikan oleh masyarakat.
  • Pelaksanaan yang betul, iaitu melakukan pekerjaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
  • Matlamat organisasi yang jelas dan sahih, iaitu tidak melibatkan penipuan, rasuah, rompakan atau perkara yang haram.
  • Pekerjaan yang mengikut hukum syariat, iaitu tidak melibatkan perjudian atau apa-apa jenis penyelewengan yang lain.
  • Pekerjaan yang tidak mengganggu ibadat khusus, iaitu pekerjaan yang tidak menghalang seseorang untuk solat dan sebagainya.
Sesi perkongsian ilmu dilaksanakan melalui aplikasi Zoom dan membawakan tajuk “Ibadah dalam Kerjaya”.

Apakah matlamat kita bekerja? Adakah semata-mata untuk mendapatkan kekayaan? Atau hanya ingin mendapatkan pengiktirafan manusia sekeliling?

Tegas beliau, dalam setiap pekerjaan pasti akan datang ujiannya yang tertentu. Namun begitu, perkara ini merupakan sesuatu yang telah dijangka kerana Allah SWT menurunkan ujian untuk menguji hamba-Nya demi meningkatkan ketakwaan dalam diri. Oleh itu, seseorang itu harus berusaha untuk menangani cabaran yang timbul ketika bekerja dengan sentiasa melaksanakan tanggungjawab secara ikhlas dan amanah. Allah SWT menjanjikan ganjaran dan pahala yang lumayan bagi mereka yang berjaya.

Melaksanakan pekerjaan dengan baik bererti anda melaksanakan ibadat dengan baik. Ibadat yang baik akan menyempurnakan peribadi seseorang.

Untuk catatan, Ustaz Yazid pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan Polis selama 37 tahun dan telah mendapat tauliah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penceramah agama. Beliau juga merupakan seorang penulis aktif yang banyak menghasilkan penulisan berkaitan dengan dakwah dan Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.