26 Oktober 2022, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan menghadiri sesi pertemuan dengan Perwakilan Asing dari Negara-Negara Timur Tengah di Malaysia yang dihoskan oleh SME Corp Malaysia di ibu negara. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusinya, iaitu Yang Berbahagia Dato’ Sri Syed Hussein Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Nainy.

Antara duta besar yang hadir termasuklah Datuk Dr. Mahmoud Hussein Qattan (Arab Saudi), Thamer Adwan (Jordan), Gamal Ragai Nasr (Mesir) dan Saad Maandi (Algeria). Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch serta pegawai kanan dari Kedutaan Bahrain, Rashad Farooq Al-Shaikh dan Kuwait, Mudhhi Tuwari Alfadhli. Turut serta dalam majlis tersebut, Pengerusi Malaysia Airlines yang juga mantan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Syed Hussein mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis dan memaklumkan bahawa pihak SME Corp Malaysia sedang mempertimbangkan beberapa bentuk kerjasama dengan negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Tuanku Raja Muda Perlis beramah mesra dengan tetamu kenamaan yang hadir.

Dalam majlis tersebut juga, Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Dr. Ir. Kamarudin Hussin merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs serta Pengerusi Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCOE) dan Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor selaku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs turut berkesempatan berkongsi maklumat bagi memperkenalkan organisasi masing-masing kepada tetamu yang hadir.

Duta-duta Besar dari negara Timur Tengah berkenaan juga kini sedang membuat perancangan untuk datang ke negeri Perlis bagi sesi lawatan rasmi sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada awal tahun hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.