26 Oktober 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan tentang kesihatan sama ada dari aspek jasmani mahupun rohani. Tabiat pemakanan yang sihat merupakan antara faktor yang perlu diberikan perhatian oleh seseorang demi memastikan kesihatan mereka terjamin serta terhindar daripada sebarang penyakit yang berbahaya. Kesihatan merupakan nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ”Dua nikmat Allah SWT yang sering dilupakan oleh umat manusia, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam menuntut umatnya mempunyai tubuh badan yang sihat agar dapat melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah dan dalam kedua-duanya itu terdapat kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap sesuatu yang bermanfaat bagimu dan jangan lemah semangat,” (Hadis riwayat Ibn Majah no. 4158).

Perut dikatakan tempat bermulanya segala penyakit.

Belakangan ini, rakyat Malaysia sudah mula menitikberatkan penjagaan kesihatan. Namun begitu, atas faktor kekangan waktu segelintir masyarakat memilih jalan pintas dengan menggunakan produk tertentu dalam usaha untuk mereka menjaga kesihatan. Pada hakikatnya, tidak semua produk di pasaran dapat membantu menjaga kesihatan sebaliknya ada antaranya yang memudaratkan tubuh badan penggunanya. Oleh sebab itu, kita disarankan untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dalam kehidupan harian kerana perut memainkan peranan yang besar dalam kehidupan terutamanya dalam pembentukan akhlak seseorang sebagaimana hadis baginda yang bermaksud: “Perut manusia itu tempat segala penyakit manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan”. (Hadis riwayat al-Dailami).

Amalan pemakanan terbaik yang boleh diikuti ialah berpandukan kepada al-Quran dan sunah Rasullulah SAW. Hal ini kerana kedua-duanya merupakan asas yang menjadi pegangan umat Islam. Amalan dan gaya pemakanan yang dipamerkan Baginda merupakan corak pemakanan yang sihat dan berkhasiat seperti yang disarankan oleh pakar pemakanan pada hari ini. Persepsi umum masyarakat Malaysia hari ini adalah dengan melabelkan amalan dan gaya pemakanan Rasulullah SAW sebagai makanan sunah.

Makanan sunah dikaitkan dengan beberapa jenis makanan seperti kurma, kismis, buah tin, buah zaitun, delima, habbatus sauda, zafran dan madu sehingga mendorong lambakan produk yang dikaitkan dengan makanan sunah di pasaran. Ironinya, keberkesanan sesuatu produk diragui kerana jenis makanan tersebut dicampur dan diproses menjadi satu sedangkan Rasulullah SAW mengambilnya secara berasingan dan tidak diproses.

Makanan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW

Kurma

Kurma atau tamar merupakan antara makanan yang diamalkan dan disarankan oleh Rasulullah SAW. Di Malaysia, buah kurma merupakan antara juadah yang paling popular setiap kali tibanya Ramadan. Rasulullah SAW sangat menggemari kurma.. Sayidatina Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar.” (Hadis riwayat Sahih Muslim).

Madu

Madu merupakan makanan berkhasiat yang digemari Rasulullah SAW. Khasiat madu juga termaktub dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 68 dan 69 yang bermaksud: “Dari perut lebah keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia.”

Minyak Zaitun

Buah zaitun merupakan tanaman yang kebiasannya ditanam di kawasan Mediteranean. Khasiat buah ini juga disebut dalam al-Quran sebanyak tujuh kali. Antaranya termasuklah dalam firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud: “Dinyalakan (dengan minyak) dari sebuah pohon yang diberkati, (iaitu) zaitun yang tidak tumbuh di sebelah timurnya dan tidak pula di sebelah baratnya, hampi-hampir minyaknya saja menerangi walaupun tidak disentuh api.” Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kalian menggunakan minyak zaitun sebagai lauk dan buatlah ia sebagai minyak oles, kerana ia (minyak zaitun) berasal daripada pohon yang diberkati.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Adab pemakanan Rasulullah SAW

Selain memilih makanan yang berkhasiat dalam amalan pemakanan Baginda, Rasulullah SAW juga mempunyai adab-adab tertentu ketika menjamah makanan. Antaranya termasuklah:

Makan menggunakan tangan kanan dan menjilat jari ketika makan

Abdullah bin Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan jika dia minum maka hendaklah minum dengan tangan kanannya. Sebab syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.” (Hadis riwayat Muslim).

Di samping itu, Rasulluah SAW juga menjilat jarinya ketika makan. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullulah SAW bersabda, “Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah dia menjilat jari-jemarinya, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui dari jemari mana munculnya keberkatan.” (Hadis riwayat Muslim). Kajian saintifik juga menunjukkan ketika kita makan dengan jari dan menjilat jari untuk membersihkannya, maka jari tersebut akan mengeluarkan enzim yang sangat membantu kelancaran pencernaan.

Umat Islam dituntut untuk makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang

Rasulullah SAW hanya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang seperti sabda Baginda yang bermaksud, “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Pengambilan makanan dalam kuantiti yang banyak sekali gus sebenarnya membebankan fungsi sistem pencernaan yang akhirnya memudaratkan. Dewasa ini, kita lebih memilih untuk berhenti apabila perut betul-betul kenyang sehingga tersandar lesu.

Pemilihan jenis makanan sebagaimana yang diambil oleh Rasulullah SAW wajar diteladani kerana khasiatnya telah termaktub dalam kitab suci al-Quran. Selain pemilihan jenis makanan, kita juga boleh mengikut adab makan baginda terutamanya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang kerana perut yang terlalu kenyang bukan sahaja boleh mengundang rasa malas malah membawa kepada obesiti yang menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit.  Nikmat dan anugerah kesihatan yang dikurniakan Allah S.W.T wajar dimanfaatkan berdasarkan landasan syariat bukan secara membuta tuli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.