25 Oktober 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Qariah Malaysia, Sofizah Mousin dan qari Bahrain, Mohamed Sameer Magahed  dinobatkan sebagai juara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62. Sofizah menjadi johan qariah dengan kutipan markah sebanyak 89.66 peratus sementara Mohamed Sameer mengungguli kategori qari dengan kutipan markah 93.33 peratus. Kedua-dua mereka membawa pulang piala dan sijil penghargaan berserta wang tunai dari Kerajaan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenan mengurniakan hadiah kepada Mohamed Sameer Mohamed Magahed yang dinobatkan sebagai Johan Tilawah Kategori Lelaki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Bagi naib juara kategori yang sama dirangkul oleh peserta dari Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dengan kutipan markah 88.83 peratus, diikuti  peserta dari Indonesia, Muhammad Rizqon dengan markah 88.34 peratus.

Bagi kategori wanita tilawah al-Quran, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang, iaitu  Sofizah Mousin yang dinobatkan sebagai Johan Tilawah Kategori Wanita, diikuti naib johan dimiliki oleh peserta dari Singapura, Widadul Wahidah Mahamod dengan kutipan markah 87.50 peratus dan tempat ketiga milik  peserta dari Indonesia, Yuni Wulandari Hasim dengan markah sebanyak 87.49 peratus.

Menurut juara qariah, Sofizah, 33, beliau menjadikan kemenangan ini untuk meneruskan dakwah melalui al-Quran dan akan terus berguru serta bertalaqi untuk menambahkan ilmu.

Untuk peringkat antarabangsa, cabarannya lebih besar sebab di peringkat yang lebih tinggi, saya perlu buat yang terbaik dan alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

Katanya lagi dalam satu sidang media selepas majlis tersebut,

 … untuk saham akhirat, hadiah kemenangan akan disimpan dan mungkin digunakan untuk membuka pusat al-Quran.

Berbeza dengan MHTQA yang terdahulu, MTHQA ke-62  yang bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah al-Quran sahaja, manakala kategori hafazan akan kembali pada tahun hadapan. MHTQA yang disertai seramai 36 orang peserta dari 28 buah negara yang berjaya melepasi sesi saringan pada 1 hingga 7 Julai lalu ini adalah yang pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Penjurian MTHQA ke-62 dinilai oleh 16 orang juri dalam kalangan ahli al-Quran yang terdiri dari dalam dan luar negara. Penilaian ini yang berlangsung selama enam hari bermula sejak 19 Oktober lalu bertempat di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan MTHQA ke-62 termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Sumber gambar: Facebook rasmi JAKIM

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.