14 Oktober 2022, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kejayaan dalam banyak bidang kehidupan sama ada dalam aspek sosial, keagamaan, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya yang dijana menerusi amalan wakaf telah terbukti sejak sekian lama. Wakaf juga berperanan sebagai satu daripada sumber kewangan sosial Islam yang mapan dalam memperkasa ekonomi negara. Impak daripada amalan wakaf telah membuahkan pelbagai kemajuan dan pembangunan negara serta menyumbang dalam membantu pihak pemerintah melengkapkan segala fasiliti dan prasarana asas yang diperlukan oleh rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menerima mengadap satu delegasi dari Bukhara, Uzbekistan yang turut mengiringi baginda dalam program berbasikal MAIPs Peduli petang semalam. Dalam majlis tersebut, Imam Khatib Masjid Jami Khoja, Abdulxoliq Gijduvoni dan Imam Khatib Masjid Jami Mavlono, Shamsuddin Mahbubiy hadir bersama-sama Setiausaha Pertama di Kedutaan Besar Uzbekistan Kuala Lumpur, Bakhtiyor Mukhitdinov.

Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli solat berjemaah bersama-sama delegasi dari Bukhara, Uzbekistandan penduduk kariah Masjid Al-Hasan, Kampung Jejawi Dalam, Jejawi.

Menurut baginda lagi, “Amalan berwakaf begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat Islam sejak sekian lama. Wakaf bukan sahaja sebagai suatu ibadat sunat muakad, bahkan amalan sunah yang sangat dituntut untuk dilaksanakan dan sebagai simbolik pengabdian dan kesyukuran seseorang hamba kepada Allah SWT. Wakaf juga mempunyai signifikan dan impak penting dalam melengkapkan keperluan ummah di samping menjanjikan ganjaran kebajikan yang berterusan kepada pewakafnya.

Tuanku Raja Muda turut berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Hasan, Kampung Jejawi Dalam, Jejawi. Penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Teratak Rahmat di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis KM 1.2, Jalan Mata Ayer.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.