2 Oktober 2022, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Belakangan ini, ajaran Rasulullah SAW khususnya dalam amalan komunikasi tidak lagi “dimesrai” dalam kehidupan seharian seperti banyak yang dilakukan oleh para sahabat r.anhum pada zaman salaf al-soleh. Perkara ini dapat dibuktikan apabila masyarakat kini mudah mengeluarkan kata-kata kesat ketika berlakunya salah faham dalam berkomunikasi.

Demikian diutarakan oleh Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin dalam Program Kuliah Dhuha yang dianjurkan oleh pihak Masjid Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Telegram, Instagram, Twitter dan Facebook Masjid Negara Malaysia semalam.

“Komunikasi merupakan proses menyampaikan maklumat, fikiran dan emosi dalam bentuk yang dapat difahami oleh orang yang hendak disampaikan. Komunikasi dalam konteks ‘keluarga’ jelas dapat dilihat melalui perbualan antara suami dengan isteri serta antara ibu bapa dengan anak-anak. Setiap keluarga mempunyai ‘bahasa kasih sayang’ tersendiri yang perlu difahami melalui komunikasi yang baik,” katanya.

Beliau juga menghuraikan prinsip komunikasi Rasulullah SAW ketika berinteraksi sesama anggota keluarga yang boleh dipraktikkan. Prinsip komunikasi yang dimaksudkan itu termasuklah menggunakan bahasa dan kata-kata yang baik dan sopan, berdialog dengan cara yang baik, menggunakan hikmah dan nasihat yang baik, menyusun maklumat dengan jelas dan berstruktur, bercakap benar, dan tidak berbantah demi kepentingan peribadi.

“Prinsip komunikasi yang digariskan oleh Baginda Rasulullah SAW telah pun termaktub dalam al-Quran dan prinsip tersebut perlulah dilaksanakan oleh seluruh umat Islam dalam mengatur tutur kata ketika memulakan proses komunikasi. Melalui penggunaan kata-kata yang baik maka maklumat yang hendak dibicarakan mudah untuk difahami ke dalam sanubari pendengar, sekali gus dapat menghasilkan sesuatu yang kita harapkan. Akhirnya, sesebuah keluarga masyarakat itu hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.