23 September 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Dia memacakkan gunung-ganang di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”

(Surah al-Nahl 16:15)

Sungai ialah satu anugerah Ilahi. Perkataan sungai dan huraian tentang sungai, serta peranan penting sungai dalam kehidupan diulangi dalam pelbagai ayat dan surah dalam al-Quran. Kewujudan sungai bukan sahaja dikaitkan semasa kehidupan di dunia, malah sungai juga digambarkan mengalir indah di syurga.

Perkataan air diulang sebanyak 63 kali dalam al-Quran, dan 33 ayat al-Quran secara khusus mengisahkan tentang penciptaan dan nikmat air. Air merupakan khazanah alam yang sangat berharga dan merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia.

Tubuh manusia mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus air. Tanpa air manusia dianggarkan boleh hidup tidak melebihi tujuh hari. Kesemua sel hidup memerlukan air untuk berfungsi. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Allah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa-apa yang Dia kehendaki. Sungguh Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

(Surah al-Nur 24:45)

Air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia.

Sungai berperanan penting sebagai pembekal utama air tawar untuk keperluan kehidupan dunia. Malah sejarah membuktikan bahawa pembangunan tamadun yang hebat berlaku di kawasan-kawasan yang mengalir sungai yang besar lagi panjang. Sungai Nil, Sungai Hwang Ho, Sungai Indus, Sungai Tigris dan Sungai Eupharates berperanan mempengaruhi pembangunan beberapa tamadun besar dunia di Mesir, China, India dan Asia Barat. Sungai di tempat-tempat tersebut berperanan sebagai sumber kehidupan, menyuburkan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian, memungkinkan penciptaan teknologi berasaskan air, di samping menjaringkan perhubungan dengan merangkaikan hubungan sesama manusia.

Di negeri Perak, terdapat 11 lembangan sungai utama. Lembangan Sungai Perak merupakan lembangan sungai terbesar yang meliputi keluasan hampir 15 ribu kilometer persegi, menyamai 70 peratus keluasan lembangan sungai utama di negeri Perak, dan merupakan lembangan sungai kedua terbesar di Semenanjung Malaysia. Lembangan Sungai Perak turut mencatatkan sejarah pembangunan tamadun dan pemerintahan Kesultanan Melayu Perak. Hal ini terbukti dengan kewujudan makam Sultan Perak terdahulu di sepanjang tebing Sungai Perak antara Teluk Intan dengan Kuala Kangsar.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan bahawa terdapat 900 sungai di negeri Perak yang menjadi sumber bekalan air bagi keperluan rakyat. Berdasarkan laporan indeks kualiti air pada tahun 2020, terbitan Jabatan Alam Sekitar, Sungai Tapah diiktiraf sebagai sungai terbersih di Malaysia, manakala Sungai Licin, Sungai Nyior dan Sungai Manong diiktiraf antara sepuluh sungai terbersih dalam negara. Setiap rakyat hendaklah berazam dan bertekad untuk memastikan setiap sungai dilindungi daripada sebarang pencemaran dan mencapai tahap sungai terbersih.

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan perbuatan yang boleh mencemarkan kualiti air sungai, sehingga mengakibatkan bekalan air bersih terputus dan menyusahkan rakyat. Urus niaga terpaksa ditutup dan isi rumah menghadapi catuan air akibat perbuatan pihak yang sangat tidak bertanggungjawab, seperti melepaskan sisa buangan, sisa perkumuhan dan bahan kimia ke dalam saluran air atau sungai.           

Setiap orang harus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan sungai daripada sebarang unsur pencemaran.

Islam menganjurkan manusia memperteguh hubungan dengan penciptanya, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar. Insan yang beriman kepada Allah SWT wajib menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah melestarikan alam sekitar, merangkumi gunung ganang, hutan dan tumbuhan, udara dan air. Melestarikan sungai merupakan tanggungjawab kemasyarakatan yang wajib dilakukan secara bersungguh-sungguh, bermula dengan rasa sayang tidak akan melakukan kerosakan terhadap sungai, supaya air sungai tidak tercemar dan terjamin bersih.

Bersempena dengan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat kebangsaan pada 26 September ini, umat Islam diseru untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut:

Pertama: Mendukung tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi agar terus berusaha melestarikan khazanah alam yang tidak ternilai pentingnya kepada kehidupan manusia dengan sebaik mungkin. Contohilah semangat yang ditunjukkan oleh Cikgu Ismail Mohd Zain di Sekolah Kebangsaan FELDA Besout, yang secara sukarela hampir setiap minggu berusaha membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap. Hal ini bertujuan untuk membantu pengaliran air sungai agar terhindar daripada banjir, malah turut membantu memelihara pelbagai jenis hidupan air untuk membiak, di samping memberikan rezeki kepada nelayan darat. Usaha murni Cikgu Ismail telah sampai ke pengetahuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri SultanPerak yang mengutus warkah penghargaan kepada beliau.

Kedua: Masjid, surau, sekolah, badan-badan belia, badan-badan sukarela dan persatuan penduduk hendaklah mendidik setiap rakyat, bermula dari usia kanak-kanak untuk tidak mencemari sungai dengan langkah permulaan, serta berhenti membuang sampah dan kotoran ke dalam longkang, parit dan sungai.

Bencana alam boleh berlaku disebabkan sikap zalim manusia terhadap alam sekitar.

Ketiga: Menginsafkan diri bahawa nikmat air yang kita miliki merupakan anugerah Ilahi yang sementara sifatnya. Jika kita bersyukur dengan mengamalkan sifat-sifat yang selari dengan kehendak Ilahi, maka Allah SWT akan terus menganugerahkan kita dengan persekitaran kehidupan yang sejahtera; sebaliknya jika kita bersifat zalim dengan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar, maka kita akan ditimpa pelbagai bencana dan malapetaka berbentuk tanah runtuh, banjir, kemarau, serta air dan udara yang tercemar dan beracun.

Sekiranya kita kembali kepada matlamat kehidupan sebenar, maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang. Marilah kita mengurus sumber air dengan rasa penuh tanggungjawab, serta mengambil peranan masing-masing secara berhikmah dan berdedikasi. Dengan itu, umat akan dapat menikmati manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran anugerah Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Buruj 85:11)

Umat Islam diseru agar terus istiqamah berpegang dengan akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin, hingga hari ini. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama makhluk. Imarahkanlah rumah Allah SWT dengan terus-menerus mengerjakan ibadat dan solat fardu secara berjemaah.

Ya Allah, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan menghulurkan wakaf, kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhkanlah golongan fakir dan miskin daripada kekufuran serta hindari mereka daripada kefakiran yang berpanjangan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 23 September 2022, “Mensyukuri Nikmat, Melestarikan Sungai”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.