22 September 2022, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peristiwa turunnya wahyu al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 Masihi merupakan titik permulaan hadirnya ajaran Islam dalam kalangan umat manusia. Kesempurnaan Baginda dan kebijaksanaannya dalam pemerintahan  menyebabkan Islam dapat disebarkan dengan meluas. Hal ini dibuktikan berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 3651).

Tanggungjawab menyebarkan Islam diteruskan selepas kewafatan Rasullullah SAW, namun kesempurnaan pemerintahan tidak dapat dikekalkan. Banyak dinasti Islam yang wujud melalui era kegemilangan dan akhirnya mengalami zaman kejatuhan. Pelbagai dinasti datang dan pergi namun masih ada yang kekal hingga kini, iaitu legasi kesenian dan kebudayaan yang ditinggalkan yang banyak menyumbang ke arah perkembangan sains dan kesenian.

Dua tahun dunia dikejutkan dengan kehadiran pandemik COVID-19 yang telah menyekat pergerakan umat manusia seluruh dunia amnya dan rakyat Malaysia khususnya. Fasa peralihan ke endemik membolehkan Muzium Kesenian Islam Malaysia memanfaatkan peluang untuk mengajak para pengunjung ke pameran “14 Dinasti dan Satu Wilayah: Sejarah dan Kebudayaan Dunia Islam” yang diadakan di ruang pameran khas dari 8 Jun hingga 16 Oktober 2022. Pameran ini bertujuan untuk mengembalikan ingatan pengunjung terhadap sejarah dan kebudayaan dunia Islam sebelum mereka melangkah ke dua aras ruang pameran kekal yang menempatkan banyak koleksi artifak dunia Islam.

Antara ruang yang boleh dilawati dalam Pameran 14 Dinasti dan Satu Wilayah: Sejarah dan Kebudayaan Dunia Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Pameran “14 Dinasti dan Satu Wilayah: Sejarah dan Kebudayaan Dunia Islam” akan membawa pengunjung menghayati kembali kegemilangan tamadun dan dinasti Islam dalam tempoh seribu tahun dengan pembentukan wilayah dunia Islam bermula dari Semenanjung Iberia hingga ke Asia Tenggara dan seterusnya ke China. Pengunjung dapat menyaksikan sumbangan penting yang dihasilkan oleh dinasti-dinasti ini dalam pembentukan gaya artistik Islam yang menjadi legasi dikagumi sehingga hari ini. Semua ini dapat dilihat melalui hasil seni bina, manuskrip, lukisan, hasil kerja logam, seramik, tekstil dan barang kemas.

Pameran 14 Dinasti dan Satu Wilayah: Sejarah dan Kebudayaan Dunia Islam yang diadakan di Tokyo National Museum.

Pameran yang sama telah dibawa ke Tokyo untuk dipamerkan kepada para pengunjung di Tokyo National Museum (TNM) bermula dari 6 Jun 2021 sehingga 20 Februari 2022 bersempena dengan temasya sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2021. Muzium Kesenian Islam Malaysia mengambil inisiatif ini sebagai langkah untuk memperkenalkan dan berkongsi pengetahuan mengenai sejarah Islam dan keindahan kesenian Islam kepada masyarakat di negeri matahari terbit itu. Di kala kedua-dua negara, Malaysia dan Jepun mencatatkan kes COVID-19 yang begitu tinggi, pameran tersebut masih berjaya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dengan jumlah kunjungan berjumlah 125 000 pelawat sepanjang tempoh pameran. Sebanyak 1300 naskhah katalog pameran juga habis terjual.

Ayat-ayat al-Quran dalam tulisan Kufi pada kulit binatang.

Di ruangan galeri pameran khas Muzium Kesenian Islam Malaysia, pengunjung dapat meneliti dan menghayati kehalusan dan keindahan ciptaan seni yang dihasilkan pada zaman pemerintahan dinasti Islam yang berbeza melalui artifak yang dipamerkan mengikut kronologi oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia. Pengunjung seolah-olah dibawa merentasi kapsul masa dunia Islam, menelusuri perjalanan sejarah dengan mengikuti garis cerita pameran yang bermula dari zaman Dinasti Umayyah (661-750). Empayar pemerintahan kerajaan Islam pertama ini memulakan era seni bina Islam yang hebat pada Masjid Agung Umayyad (juga dikenali sebagai Masjid Agung Damsyik) yang dibina semasa pemerintahan al-Walid 1 menjadi contoh antara monumen hebat dunia Islam. Pemerintahan dinasti Umayyah ini juga tidak kurang hebat dari segi politik dan pembangunan intelektual. Pengunjung akan dapat melihat sekeping folio al-Quran bertulisan Kufi dari abad ke-9 yang ditulis pada kulit binatang. Pada ketika itu, teknik menulis pada bahan sedia ada seperti kulit binatang merupakan cara yang biasa dilakukan kerana penggunaan kertas masih belum diperkenalkan ke dunia Islam.

Tentangan terhadap kerajaan Umayyah seterusnya melahirkan dinasti ‘Abbassiyah (750-1528), iaitu satu dinasti yang juga amat mementingkan pembangunan kebudayaan, ekonomi dan intelektual dunia Islam. Pada pemerintahan dinasti ini lahirnya para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, al-Haytham, al-Farabi, al-Kindi, al-Jahiz dan al-Balkhi. Al-Balkhi atau Abu Ma’shar al-Balkhi (787-886) ialah seorang ahli astrologi terkenal yang berkhidmat di istana pemerintahan ’Abbasiyyah dan antara hasil kerja terpenting dalam bidang astronomi yang dihasilkannya termasuklah terjemahan Almagest, treatis astronomikal terhebat yang ditulis oleh Ptolemy (85-165), seorang ahli astrologi dan geografi Yunani yang terkemuka semasa hidupnya. Kepentingan pendidikan yang berterusan amat dititikberatkan dalam pemerintahan dinasti ‘Abbasiyyah dan ini dapat dilihat melalui sebuah manuskrip saintifik mengenai astronomi yang ditulis oleh al-Balkhi dan disalin semula lima abad selepas ketiadaannya.

Kejatuhan kuasa pemerintahan sesebuah dinasti memperlihatkan kemunculan kuasa baharu pemerintahan seterusnya. Kemerosotan pemerintahan dinasti ‘Abbasiyyah membuka kesempatan untuk dinasti Fatimiyyah (909-1171) mengambil alih kuasa. Dengan pengisytiharan Salah al-Din sebagai pemerintah pertama dinasti Ayyubiyah (1171-1260), hal ini memberikan makna berakhir pula kuasa pemerintahan dinasti Fatimiyyah. Dinasti Fatimiyyah terkenal dengan kekayaan wilayah jajahannya yang mempunyai lombong emas, begitu juga kehebatan pemerintahan tersebut dalam perdagangan antarabangsa. Pengunjung dapat melihat kemewahan emas yang digunakan pada barang kemas yang dihasilkan oleh tukang emas pada era pemerintahan tersebut.

Kemerosotan dinasti ‘Abbasiyyah pada abad ke-9 Masihi juga membuka peluang untuk dinasti Samanid (819-999), Buyid (945-1055) dan Ghaznavid (977-1186) di Iran yang dahulunya bernaung di bawah pemerintahan ‘Abbasiyyah untuk mencapai kemerdekaan. Dinasti-dinasti awal ini sangat aktif berdagang melalui Laluan Sutera yang menyambungkan dunia Islam dengan China dan Eropah. Produk dagangan, idea, teknik pembuatan dan teknologi baharu mula bertukar tangan. Sutera merupakan antara produk utama yang dibawa dari China, manakala motif “percikan warna” pula diguna pakai dalam pembuatan tembikar di Nishapur, Iran diinspirasikan dari sancai (tiga warna)–gabungan warna hijau, kuning dan coklat yang digunakan pada peralatan pengebumian pada zaman dinasti Tang (918-907)

Pinggan dengan motif hiasan percikan dan torehan.

Kejatuhan dinasti Umayyah di Syria pada abad ke-8 Masihi pula menyaksikan pertambahan kerajaan baharu di Semenanjung Iberia pimpinan ‘Abd al-Rahman 1 yang memerintah dari tahun 756-788 Masihi. Dengan Cordoba sebagai ibu kotanya, di samping menjadi pusat intelektual terkemuka kerajaan ini juga merupakan sebuah pusat perdagangan yang hebat. Pengunjung dapat menyaksikan semua ini dizahirkan dalam sebuah lukisan catan air abad ke-19 bertajuk The Connoisseur oleh Ettore Simonetti (1857-1909), seorang pelukis Eropah yang mengagumi kehebatan kehidupan masyarakat Islam pada ketika itu. Di Afrika Utara pula, muncul dinasti Almoravid (1062-1150), diganti selepasnya oleh dinasti Almohad (1150-1269), sebuah dinasti Berber yang akhirnya menguasai Cordoba dan bandar-bandar utama lain di Semenanjung Iberia.

Lukisan catan air bertajuk The Connoisseur oleh Ettore Simonetti (1857 -1909).

Satu-persatu kemunculan dinasti baharu dunia Islam dan kejatuhannya dibincangkan dalam pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia ini; Seljuk Parsi (1040-1157) dan Seljuk Rum (1081-1307), Mamluk Bahri (1250-1382) dan Mamluk Burji (1382-1517), Ilkhanid (1256-1353) dan Tumirid (1370-1507). Dinasti Uthmaniyyah (1299-1922) Safavid (1501-1722) dan Mughal (1526-1761) mewakili The Gun Powder Empires mengakhiri kronologi pameran yang meliputi sejarah dan kebudayaan Semenanjung Iberia, Afrika Utara, Anatolia, Parsi and benua kecil India.

Muzium Kesenian Islam Malaysia juga menyingkap sejarah dan kebudayaan Kesultanan Melayu yang merupakan sebahagian daripada dunia Islam apabila Islam diperkenalkan di Kepulauan Melayu pada abad ke-13. Tekstil merupakan antara komoditi yang paling berkembang pesat dan diminati oleh para pedagang pada ketika itu.  Kain limar bersongket awal abad ke-19, berwarna merah yang bercorak pucuk rebung dan siku-sika (zigzag) di hujungnya kerap digunakan dalam majlis adat-istiadat khas oleh para bangsawan. Meskipun mahal dan mewah, industri pembuatan kain limar bersongket kini kian pupus.

Bekas pen porselin berhias corak flora Dinasti Ming, China, abad ke-15.

Pada pengakhiran pameran, pengunjung akan dibawa ke Tanah Besar China melihat sebuah bekas alat tulis porselin yang dihasilkan pada abad ke-15 untuk kegunaan di bengkel diraja. Porselin adalah komoditi eksport paling berkualiti yang dihasilkan ketika pemerintahan dinasti Ming (1368-1644) untuk istana dalam dunia Islam. Pedagang China dan Arab menguasai pasaran eksport komoditi ini melalui Laluan Sutera, namun pada abad ke-16 kuasa mereka berkurangan apabila pedagang Portugis dan Belanda mula sampai ke China melalui laluan maritim Lautan Hindi. Sumbangan China kepada sejarah dan kebudayaan dunia Islam amat besar kerana mereka merupakan perintis yang memperkenalkan dunia Islam kepada penggunaan kertas.

Bagi pengunjung yang ingin terus mengenali dunia Islam dengan lebih dekat, Muzium Kesenian Islam Malaysia menawarkan dua aras pameran kekal yang menempatkan lebih banyak lagi artifak dunia Islam untuk mereka kenali dan hayati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.