16 September 2022, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada (Firaun) dan pengikutnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya.  Mereka menyembelih anak lelaki kamu dan membiarkan anak-anak perempuan kamu hidup. Dan pada kejadian yang demikian itu terdapat bala bencana dan ujian yang besar daripada Tuhan kamu.”

(Surah al-Baqarah 2:49)

Peristiwa ini menuntut umat Islam agar bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Setiap umat Islam hendaklah melihat diri mereka dan memerhatikan amal ibadat yang dilakukan untuk persediaan hari esok (hari akhirat) kerana sesungguhnya Allah SWT amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang dikerjakan oleh manusia. Umat Islam juga diseru untuk mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah yang berlaku untuk menambah baik kehidupannya pada masa akan datang.

Tanggal 16 September ialah hari bersejarah, hari pengisytiharan penubuhan negara Malaysia. Kebijaksanaan dan kejayaan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Al-Marhum) bersama-sama barisan pemimpin seangkatan beliau, memimpin dan mengurus Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka, telah memberikan keyakinan kepada pemimpin dan rakyat di Sabah, Sarawak dan Singapura, dengan persetujuan Inggeris, untuk menjadi wilayah merdeka yang bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, menubuhkan negara Malaysia pada 16 September 1963.

Hakikat kemerdekaan perlu difahami secara tersurat dan tersirat oleh Umat Islam dengan menghayati pelbagai kisah yang dilalui oleh generasi terdahulu. Kisah Nabi Musa a.s. dengan penentuan Ilahi, berjaya membebaskan Bani Israel daripada penindasan dan kekejaman Firaun adalah antara pedoman yang boleh dijadikan pengajaran.

Firaun memerintah dengan sifat beraja di mata bersultan di hati, angkuh, bongkak, sombong, takbur; menganggap dirinya paling berkuasa di muka bumi dan merasakan setiap perbuatannya betul serta tidak salah. Firaun telah memperhambakan manusia dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kerosakan. Menjunjung perintah Allah SWT, Nabi Musa a.s. telah memimpin umat Baginda bagi menentang kezaliman Firaun agar manusia kembali memperoleh kemuliaan dan martabat.

Rasulullah SAW menegur golongan yang mengumpulkan, membolot dan menghimpunkan harta tanpa mempedulikan keadilan ekonomi.

Nabi Muhammad SAW pula ketika mengembangkan risalah Islam telah menghadapi masyarakat yang mengalami tiga penjajahan, iaitu hidup tiada hala tuju, penindasan ekonomi dan kezaliman sosial. Hidup tiada hala tuju digambarkan melalui penyembahan berhala. Rasulullah SAW membimbing umat manusia menyembah hanya Allah Yang Maha Esa. Penindasan ekonomi berlaku kerana kekayaan dikuasai dan dibolot oleh kelompok tertentu yang tamak dan haloba. Rasulullah SAW menegur golongan yang mengumpulkan, membolot dan menghimpunkan harta tanpa mempedulikan keadilan ekonomi. Kezaliman sosial berlaku melalui tindakan kaum Quraisy yang mengamalkan sistem perhambaan, semangat asabiyah, diskriminasi dan penghinaan terhadap wanita serta hamba.

Islam menganjurkan pembebasan hamba, memuliakan wanita dan kesetaraan bangsa.  Dalam khutbah terakhir di Arafah, Rasulullah SAW menegaskan bahawa tidak ada perbezaan antara orang kulit hitam dengan kulit putih, dan antara Arab dengan bukan Arab, melainkan takwa. Kemerdekaan berpandukan ajaran Islam bukan sahaja membebaskan umat manusia daripada perhambaan sesama manusia, bahkan membebaskan umat manusia daripada segala bentuk perhambaan selain Allah SWT.

Antara kandungan surat Rasulullah SAW kepada penduduk Najran dicatatkan, “Aku menyeru kalian untuk menghambakan diri kepada Allah dan meninggalkan perhambaan sesama manusia.” Ketika Rib’i Ibnu Amir diutus, Panglima Saad Ibnu Abi Waqqas r.a. mengadakan rundingan dengan panglima Parsi, iaitu Rustum. Rib’i berkata, “Kami (umat Islam) diutus oleh Allah untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia, menuju perhambaan hanya kepada Allah SWT, keluar daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya, dan keluar daripada kezaliman agama menuju keadilan Islam.”

Minda atau akal yang merdeka merujuk minda yang keluar dari kepompong kejahilan. Minda yang terkurung dalam kejahilan tidak dapat berkembang dan kemampuan berfikirnya terbatas. Sedangkan, minda anugerah Ilahi ini, kemampuannya tiada batasan selagi mana minda digunakan dengan cara yang betul dan sihat. Minda hendaklah dimanfaatkan dengan berfikir secara baik, bertindak secara rasional, setelah mengambil kira segala pertimbangan demi mencapai keputusan terbaik buat diri, agama, masyarakat dan negara. Minda yang tidak dijajah seharusnya membawa kepada warga yang berubah daripada segala perbuatan dunggu dan kepercayaan karut, kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan sentiasa menggalakkan kemajuan.

Akal menjadi sihat dengan sentiasa ditambahkan ilmu. Ummah harus menambah ilmu pengetahuan agar berupaya membezakan kebenaran dengan pemalsuan dan intan dengan kaca. Sebaliknya minda terkunci, yang tidak berkembang dan kurang pengetahuan akan mudah dijajah oleh pemikiran asing dan budaya songsang yang bercanggah dengan adat setempat serta menyalahi syariat. Cara berfikir harus didasari dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunah. Ajaran Islam memperkenalkan maksud kemerdekaan sebenar, iaitu manusia bebas daripada belenggu kejahilan serta tidak mensyirikkan Tuhan Rabb al-‘alamin.

Nyatalah bahawa Islam mentafsirkan kemerdekaan tidak hanya melalui kemerdekaan lahiriah malah merangkumi kemerdekaan batiniah, iaitu kemerdekaan jiwa yang dilengkapi dengan kemerdekaan minda. Kemerdekaan yang hakiki dimiliki apabila seseorang manusia mampu berada dalam fitrahnya, serta turut berupaya membebaskan diri daripada segala belenggu yang berpunca daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.

Merdeka bukan sahaja bebas daripada jajahan berbentuk fizikal malah turut bermaksud membebaskan diri dari apa-apa jua belenggu dan halangan yang merencatkan kemajuan diri. Bagi membina warga Malaysia yang berdaya saing dan maju, warganya perlu membebaskan diri daripada perhambaan dengan memiliki jiwa dan minda yang merdeka, jiwa dan minda yang bebas berperanan, berpandukan iman dan cahaya Ilahi.

Jiwa dan minda merdeka bermaksud jiwa dan minda yang bebas; jiwa dan minda yang tidak dicengkam oleh sebarang anasir dalaman mahupun luaran. Insan yang merdeka jiwa dan mindanya tidak meletakkan nasibnya kepada manusia lain, tidak taksub kepada insan lain, hingga bersedia bersubahat dengan perbuatan mungkar, bersedia berada di bawah telunjuk dan arahan hingga kabur pandangan lalu sanggup mengatakan yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih. Insan yang merdeka jiwa dan mindanya tidak akan tergelincir aqidahnya, malah sentiasa yakin akan diri dan berani menegakkan yang makruf – tegas menentang yang mungkar, menyerahkan diri sepenuhnya untuk mendapat perlindungan dan keredaan Ilahi.

Kesimpulannya, sebuah negara merdeka akan mencapai kemajuan jika warganya berjaya memerdekakan jiwa dan minda daripada perhambaan kerana jiwa hamba akan menghalangi minda berkembang dan maju.

Bersempena dengan tarikh bersejarah 16 September, umat Islam diingatkan untuk melakukan perkara-perkara yang berikut:

Pertama: Kenang jasa para pemimpin yang telah berkorban memperjuangkan kemerdekaan, serta pengorbanan dan usaha mereka membentuk sebuah negara merdeka.

Kedua: Zahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat dikurniakan negara merdeka dengan tidak melakukan kerosakan di bumi ini serta memelihara dan tidak memusnahkan alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran.

Manusia perlu menjaga alam sekitar dengan baik dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi.

Ketiga: Tadbir urus negara ini dengan adil berpaksikan undang-undang, tidak membazirkan khazanah negara dan wang rakyat, mengagihkan sumber kekayaan negara secara saksama, mengutamakan keperluan rakyat miskin dengan menyediakan keperluan pendidikan, perubatan, perumahan, pengangkutan, pekerjaan dan keperluan sosial yang lain.

Keempat: Serahkan tanggungjawab dan tugas kepada orang-orang yang ahli dan memiliki pengetahuan serta amanah untuk mengelakkan berlakunya kerosakan kepada sumber-sumber, dan mengelakkan berlaku ketirisan khazanah negara, yang beban kerosakan dan ketirisan terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk hutang yang berpanjangan.

Kelima:  Terima hakikat bahawa negara ini terdiri daripada warga pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa lalu menghayati seruan Ilahi berpandukan ayat 13 surah al-Hujurat untuk kita saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Melalui cara itu, kita berharap agar terbinanya sebuah masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Umat Islam juga diseru agar tetap berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Lindungi negara kami sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat, dilimpahi rahmat kemakmuran, warganya hidup dalam suasana persaudaraan, saling menghormati dan kekal harmoni.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dzal Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 September 2022, “Membina Jiwa Merdeka – Minda Merdeka”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.