14 September 2022, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya- “Liberalisme” dari segi harfiah bermaksud “kebebasan”. Istilah liberalisme dipetik daripada perkataan bahasa Latin, iaitu liber yang membawa makna bebas dan bukan hamba. Menurut Syeikh Sulaiman al-Khirasi dalam kitabnya, Libraliyah al-Khirasyi menyatakan bahawa liberalisme ialah mazhab pemikiran yang mementingkan kebebasan individu. Ironinya, liberalisme ialah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama.

Rentetan daripada itu, penyelidikan isu-isu semasa akidah oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah membawakan forum berkaitan dengan isu Ancaman Liberalisme dalam Beragama secara langsung melalui saluran Facebook, Instagram, Twitter, Telegram dan TikTok rasmi JAKIM bermula pukul 9:30 pagi hingga 12 tengah hari yang dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Mahmud sebagai pemudah cara.

Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato Paduka Zakaria bin Stapa, selaku pakar akidah JAKIM telah menekankan bahawa pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai aliran arus perdana di rantau nusantara. Menurut beliau, umat Islam perlu berpegang teguh dengan al-Quran dan sunah untuk mengelakkan daripada terjerumus dalam pengaruh dan pemikiran ajaran sesat, misalnya pemikiran golongan liberalisme.

Dalam keadaan semasa, telah diperakui oleh Pew Reasher Centre (PRC) bahawa 90 peratus umat Islam seluruh dunia merupakan penganut aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.  Hal ini bermakna bahawa aliran Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan aliran yang benar dan tepat (al-firqah al-najiyah) berdasarkan perakuan Rasullah SAW sendiri, iaitu “Sesungguhnya umat aku tidak akan bersepakat dalam kesesatan. Sekiranya kamu melihat perselisihan dalam kalangan mereka, maka ikutilah golongan yang paling ramai ahlinya (Ahli Sunah Wal Jamaah).”

Seterusnya, Profesor Madya Dr. Khalif Muammar A. Haris selaku Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyifatkan bahawa pemikiran liberalisme dalam sebahagian umat Islam murtad kerana mereka menerapkan nilai-nilai liberal seperti homoseksualiti, transgender, pelacuran dan pornografi sebagai kebebasan individu. Pemikiran yang menerapkan nilai-nilai liberal ini ditolak sepenuhnya oleh umat Islam sebenar kerana hal tersebut bertentangan dan bercanggah dengan ajaran umat Islam yang membenarkan al-Quran dan hadis serta pemikiran mazhab syafii.

Sesungguhnya, kemunculan pemikiran liberalisme dan idea-idea Barat ini telah menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam beragama. Oleh itu, umat Islam perlu berilmu dalam mengiktiraf tentang sesuatu ilmu akal dan falsafah. Patuhilah skop yang dibenarkan, yakni tidak bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis sahih. Semoga kita semua dilindungi daripada sebarang kesesatan!

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.