29 Ogos 2022, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran penerbitan sulung Jurnal Syariah Perak, iaitu al-Qanun Vol. 1/2022 bertempat di Hotel Casuarina, Meru Ipoh pada pagi ini.

Yang berikut diperturunkan titah baginda.

Bismillahirahmannirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Penulisan alasan penghakiman merupakan salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada hakim-hakim. Melalui penulisan alasan penghakiman, para hakim akan memberikan alasan dan asas serta sandaran kepada setiap keputusan yang telah dibuat terhadap sesuatu kes yang dibawa di hadapannya. Alasan penghakiman juga menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya. Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

2. Pertambahan hierarki Mahkamah Syariah di negeri Perak dengan perwujudan Mahkamah Utama Syariah, melalui peruntukan Seksyen 44 (3A) dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018 memberikan ruang rayuan yang setara antara kes yang bermula di Mahkamah Rendah Syariah dengan kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah. Peluang rayuan merupakan hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan al-Qanun Vol. 1/2022, Jurnal Syariah Perak.

3. Penulisan alasan penghakiman menjadi medium penilaian untuk menentukan tahap kompetensi dan kecekapan hakim-hakim. Alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim-hakim dalam menilai sesuatu isu, dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak. Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada para pengamal undang-undang. Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri.

4. Pada zaman Rasulullah SAW selain daripada hutang dan wasiat, perihal surat dan perjanjian juga dinyatakan dalam bentuk penulisan. Rasulullah SAW menggunakan penulisan dalam hal urusan negara seperti risalah kepada raja-raja.  Perkara ini membuktikan bahawa Islam amat menitikberatkan penulisan dan catatan untuk memastikan kehidupan manusia berjalan secara teratur dan mengelakkan berlakunya penipuan. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang membincangkan perkara berkaitan dengan penulisan dan catatan, antaranya wasiat, hutang dan perjanjian, seperti yang terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 282, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…”

(Surah al-Baqarah, 2: 282)

5. Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa, rekod secara bertulis, disyariatkan dan boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku pertikaian. Rasulullah SAW pernah mengarahkan agar alasan hukuman dan fatwa mengenai diyyat dalam kes pembunuhan ditulis. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. ketika pembukaan Mekah yang bermaksud:

“Sesiapa (pihak keluarga yang kena bunuh) yang mempunyai hak ke atas pembunuh, maka dia ada dua pilihan sama ada meminta supaya dibayar diyyat atau dibunuh balas (ke atas pembunuh)”. Seorang penduduk Yaman dikenali dengan panggilan Abu Shah bangun dan berkata “Duhai Rasulullah SAW, catatkan kepada aku (apa yang kamu sabdakan itu). Justeru, Rasulullah SAW mengarahkan penulis Baginda membuat catatan untuk Abu Shah.”

(Abu al-Husayn Muslim Ibn al-Hajjaj Qushayri al-Naysaburi, Sahih Muslim, Kitab al-‘Ilm, no. 1355).

6. Melalui peristiwa ini, Rasulullah SAW telah bersabda supaya hukuman yang dikenakan ke atas jenayah bunuh dicatatkan; membuktikan arahan berbentuk penulisan dibuat supaya rekod dapat disimpan dan boleh dirujuk semula apabila diperlukan.

7. Penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 135 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu tentang kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran.”

8. Dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman. Sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan. Menyoroti sirah Rasulullah SAW ketika mengutus Muaz bin Jabal sebagai Kadi Yaman, Rasulullah SAW telah bertanya kepada Muaz bin Jabal:

“Bagaimanakah kamu akan menghakimi sekiranya dikemukakan kepada kamu sesuatu kes?” Maka, Muaz menjawab: “Saya akan menghakiminya berdasarkan hukum yang terdapat dalam kitab Allah (al-Quran)” Rasulullah bertanya lagi: “Sekiranya tidak terdapat dalam kitab Allah?” Maka, Muaz menjawab: “Saya akan menghakimi berdasarkan apa yang terdapat dalam al-Sunnah” Rasulullah bertanya lagi: “Sekiranya tidak terdapat dalam al-Sunnah dan juga kitab Allah?” Lalu Muaz menjawab: “Saya akan berijtihad dengan pandangan sendiri”.  Lantas Rasulullah SAW menepuk dada Muaz (tanda berpuas hati) dan bersabda: “Segala puji bagi Allah yang memberi petunjuk kepada Rasulullah (dan mengajar kamu) dengan apa yang Rasulullah redha.”

(Abi Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Aqdiyyah, Bab ijtihad al-ra’yu fi al-qada’, hadis no. 3592).

9. Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah SAW mengiktiraf dan memberikan ruang kebebasan kepada Muaz bin Jabal yang diutus sebagai wakil ke negara Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun As-Sunnah. Baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya. Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 (14th Malaysian Laws Conference), petikan:

 “The [mere] existence of courts and judges in every ordered society proves nothing; it is their quality, their independence, and their powers that matter.”

Sehubungan dengan itu, demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini.

10. Dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan mereka, begitu juga kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan. Kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa ini. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Beta, membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah. Kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan perlu dipertingkatkan, begitu juga prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini perlu diperuntukkan.

11. Usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis. Menerbitkan al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji. Semoga al-Qanun dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang. Beta mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak atas idea dan usaha menghasilkan penerbitan ini. Semoga usaha murni ini dilimpahi keberkatan Ilahi. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, Beta melancarkan al-Qanun, Jurnal Syariah Perak.

Wabillahi taufiq wal hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.